Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Mingguan Malaysia 20 Mei 2001

Syor kuota kemasukan IPT berdasarkan formula 50:35:15

PETALING JAYA 19 Mei - Seorang ahli panel Konvensyen Perpaduan Kebangsaan Tan Sri Abdullah Ahmad hari ini mencadangkan kepada kerajaan supaya kuota kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) berdasarkan kepada formula 50:35:15.

Abdullah berkata, beliau mencadangkan formula tersebut sebagai satu cara mengawal dan mengurus meritokrasi yang menimbulkan rasa tidak puas hati pihak tertentu.

Beliau berkata, formula itu merujuk kepada 50 peratus kuota untuk bumiputera, 35 peratus untuk bukan bumiputera dan 15 peratus lagi untuk kuota terbuka mana-mana kaum.

``Ini hanya cadangan peribadi saya, terpulanglah kepada Kementerian Pendidikan untuk menimbangkannya,'' katanya kepada pemberita selepas sesi pembentangan kertas kerja pada pada konvensyen itu petang ini.

Beliau yang juga bekas penasihat politik kepada bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak itu berkata, cadangan tersebut sesuai diperkenalkan berdasarkan kepada perkembangan semasa bidang ekonomi dan pendidikan pada masa sekarang.

Beliau bagaimanapun mengakui konsep meritokrasi 100 peratus tidak sesuai dilaksanakan kerana boleh menimbulkan suasana tidak diingini.

Menurut beliau, pada zaman pemerintahan British dahulu terutama antara 1920-an hingga 1940-an, mereka pernah memperkenalkan `Biasiswa Diraja' yang menyediakan senarai khusus untuk orang Melayu dan terbuka.

Abdullah seterusnya menjelaskan, pengenalan kuota terbuka 15 peratus itu bagi menguji konsep persaingan merebut tempat berdasarkan kepada kualiti, prestasi serta kelayakan pelajar.

``Bagaimanapun kuota terbuka 15 peratus ini juga perlu dikawal supaya tidak dimonopoli sesuatu kaum,'' katanya.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, adalah penting konsep itu diperkenalkan bagi menguji sejauhmana kemampuan bumiputera sekiranya meritokrasi diamalkan.

Pada masa ini, golongan bumiputera seolah-olah mengambil mudah berhubung kemasukan pelajar ke universiti memandangkan kuota untuk mereka disediakan oleh kerajaan.

Sehubungan itu beliau berkata, perlu supaya meritokrasi terkawal diperkenalkan membolehkan mereka bersaing merebut tempat, seperti mereka bersaing merebut tempat di universiti di luar negeri.

``Ramai anak bumiputera kita juga berjaya dalam persaingan merebut tempat di universiti luar negeri termasuk universiti kelas pertama seperti Cambridge, Oxford dan Harvard sedangkan di sana tidak ada Dasar Ekonomi Baru (DEB),'' katanya.

Ditanya sama ada formula yang dicadangkan boleh membantu menangani masalah berbangkit berhubung isu kuota, beliau berkata, soal itu tidak timbul.

Ini kerana kata beliau sekiranya meritokrasi diperkenalkan 100 peratus sekalipun, masalah lain akan cuba ditimbulkan.

Menurut beliau lagi, bukan semua orang Melayu kurang cerdik dan bukan bermakna bangsa lain semuanya cerdik tetapi bumiputera tidak boleh selamanya berharap kepada bantuan semata-mata tanpa berdikari.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum