Make your own free website on Tripod.com
Macworld Magazine

PENDIDIKAN

Berita Harian 21 mac 2001

Minda Pengarang


Sistem pendidikan satu aliran perkukuh perpaduan

APAKAH perlunya wujud sistem pendidikan satu aliran tidak seharusnya dipersoalkan lagi oleh sesiapa saja. Sistem satu aliran itu telah pun diterima oleh semua sebagai suatu dasar melalui Penyata Razak pada 1956 lagi dan dimantapkan pula oleh Penyata Rahman Talib beberapa tahun kemudian. Oleh itu sistem berkenaan tidak seharusnya dipersoalkan lagi. Apa-apa kelemahan yang timbul adalah daripada perlaksanaannya. Inilah sepatutnya yang perlu dibaiki dan dimantapkan supaya sistem itu dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya sebagaimana yang diharapkan oleh pimpinan negara ketika sistem itu digubal.

Malangnya, pelaksanaannya mengalami beberapa kecacatan. Walaupun, tujuan asalnya untuk memupuk dan mewujudkan perpaduan kaum dalam negara bermula dari bangku sekolah melalui satu aliran sistem pendidikan, ia tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan kerana adanya aliran Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil. Malah sistem pelbagai aliran ini telah dimantapkan pula dengan perkembangan pesat sekolah aliran bahasa Cina pada peringkat menengah. Kewujudan sistem pendidikan pelbagai aliran yang semakin mantap ini menunjukkan kekebalan amalan perkauman yang masih belum dapat dikikis.

Sepatutnya sistem pendidikan satu aliran tanpa berteraskan ras telah dapat dilaksanakan sepenuhnya di negara yang didiami masyarakat pelbagai kaum. Malangnya, sistem seperti ini kini mendapat tentangan dengan diberi gambaran seolah-olah kerajaan mahu memansuhkan terus penggunaan bahasa ibunda kaum lain. Ia menghantui pemikiran kaum-kaum yang menganggap bahawa penghapusan sekolah pelbagai aliran akan menyebabkan bahasa dan budaya mereka terhakis.

Tidak boleh dinafikan bahawa sistem pendidikan satu aliran boleh dijadikan landasan kukuh memupuk perpaduan kaum supaya soal perkauman tidak lagi menjadi masalah besar. Ia sepatutnya diterima dengan hati terbuka. Pelaksanaan sistem pendidikan pelbagai aliran bukanlah satu cara terbaik untuk mengekang ciri-ciri perkauman dengan anak keturunan Cina atau India bergaul dengan kaum sebangsa dengannya di sekolah aliran Cina atau Tamil.

Di sekolah kebangsaan yang komposisi masyarakat sekitarnya adalah pelbagai kaum, suasana sekolah melambangkan semangat perpaduan yang tinggi. Janganlah menyalahkan dasar atau sistem pendidikan apabila berlaku sesuatu kejadian yang ditafsirkan sebagai pergeseran kaum. Yang perlu dipersalahkan ialah sikap pendapat pemimpin hari ini yang sering menyangkal usaha ke arah kebaikan dengan membuat pelbagai andaian yang tidak munasabah. Dalam konteks integrasi nasional, masih ramai pemimpin tidak dapat berfikir dengan rasional kerana mereka adalah produk sistem pendidikan berteraskan ras. Inilah sebenarnya yang perlu diubah.

Kelemahan sistem pendidikan hari ini ketara dalam konteks pergaulan yang bermula di sekolah rendah disebabkan wujudnya pengasingan antara sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan. Ciri-ciri percampuran sekaum ini menular hingga pada peringkat pengajian tinggi di dalam dan luar negara. Jalan keluar ialah dengan mewujudkan Sekolah Wawasan, tetapi, itu juga ditentang kerana masih ada sikap prejudis perkauman. Sepatutnya sistem pendidikan satu aliran mendapat sokongan menyeluruh. Jelas di kawasan bandar atau taman perumahan yang penduduk sekitarnya berbilang kaum, murid sekolah merangkumi semua kaum mereka dapat bergaul dengan baik. Keadaan beginilah yang sepatutnya diperkembangkan dan diterima dengan baik.



Dasar Sosial Negara panduan kepada rakyat

SESUATU dasar adalah garis panduan yang dirumus bagi menentukan sesuatu rancangan tidak tersasar daripada matlamatnya. Begitu jugalah dengan Dasar Sosial Negara (DSN) yang akan dilaksanakan di negara ini. Hari ini tidak ada dasar yang dapat dijadikan teladan kepada rakyat bagi mengharungi aliran pengaruh sosial yang penuh dengan unsur-unsur persekitaran liar dan kemajuan teknologi. Dengan meletakkan prasyarat untuk membina insan bermoral demi kesejahteraan negara yang dijadikan teras dasar baru itu, maka lebih mudahlah bagi penggubal dasar dan masyarakat untuk membahagikan antara ciri-ciri yang baik dan buruk dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Walaupun, ciri-ciri rakyat Malaysia yang diharapkan sudah terkandung dalam matlamat Wawasan 2020, ia dapat diperjelaskan menerusi DSN. Diharapkan DSN dapat dijadikan tapisan paling berguna untuk mewujudkan satu masyarakat Malaysia yang sihat, teguh dan utuh moral, kerohaian, emosi, mental dan fizikal demi kesejahteraan insan, agama, bangsa dan negara, sebagaimana digariskan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, penggal Ketiga Parlimen ke-10 di Parlimen, kelmarin.


 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi