Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 22 Mei 2001

Kuota bumiputera ke IPTA perlu dikekal

KUALA LUMPUR 21 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, kuota kemasukan pelajar bumiputera ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) perlu dikekalkan.

Menurutnya, kuota itu perlu bagi mengimbangi jumlah keseluruhan pelajar mengikut kaum yang mendapat pendidikan tinggi, termasuk di institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) yang kebanyakannya bukan bumiputera.

``Kita berpendapat soal kuota tidak perlu terhad kepada IPTA sahaja, yang penting ialah bilangan pelajar-pelajar dalam peringkat tertiari (pendidikan tinggi) seluruh negara dan daripada penduduk negara,'' katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, di sini hari ini.

Dr. Mahathir menjelaskan kuota kemasukan pelajar bumiputera ke IPTA hanya digunakan untuk mengimbangi kedudukan mereka di peringkat pendidikan tinggi kerana kerajaan tidak ada kuasa untuk mengawal kemasukan pelajar ke IPTS.

``Sekarang kita dapati sebahagian besar kemasukan ke IPTS terdiri daripada bukan bumiputera.

``Jadi kuota dalam IPTA ini untuk mengimbangi kedudukan dalam seluruh keadaan penuntut-penuntut peringkat universiti termasuk di luar negara,'' katanya.

Justeru, beliau mahu kuota kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) dilihat secara menyeluruh meliputi semua peringkat tertiari iaitu tidak terhad kepada kemasukan di IPTA semata-mata.

Beliau percaya jika diambil kira semua pelajar termasuk di IPTS dan universiti luar negara, jumlah pelajar bumiputera adalah kurang daripada 55 peratus.

Katanya, UMNO akan mengadakan tinjauan untuk mengetahui peratusan sebenar pelajar bumiputera yang mendapat pendidikan tinggi berbanding bukan bumiputera.

Dr. Mahathir menegaskan MT menyokong sistem kuota bagi kemasukan pelajar ke IPTA tetapi tidak meminta ia dikenakan untuk kemasukan ke IPTS.

Bagaimanapun, katanya, bilangan kemasukan pelajar ke IPTS akan diambil kira seperti kerajaan mewujudkan keadaan yang seimbang di antara bumiputera dan bukan bumiputera dalam bidang ekonomi.

Imbangan penyertaan bumiputera dan bukan bumiputera perlu diberi perhatian dalam semua perkiraan, tambahnya.

Dalam pada kerajaan berusaha menambah penyertaan bukan bumiputera dalam bidang kerajaan, pihak swasta juga perlu memberi peluang yang sama kepada kontraktor atau pembekal bumiputera dalam projek mereka.

``Kita tidak menentukan kuota atau apa-apa tetapi untuk tambah bilangan bukan bumiputera dalam kerajaan, kita juga perlu melihat tambahan bumiputera dalam sektor swasta.

``Sekarang ini kita dapati swasta kadang-kala tidak memberi peluang sama sekali kepada kontraktor bumiputera untuk projek mereka.

``Kalau ada projek swasta yang bukan dimiliki bumiputera, kita dapati tidak ada pegawai atau jurutera bumiputera, jadi mereka juga perlu meningkatkan penyertaan bumi di peringkat swasta,'' katanya.

Dr. Mahathir menegaskan dengan itu barulah kedudukan dalam seluruh negara dapat diimbangi.

Dalam perkembangan berkaitan, MT bersetuju melantik satu badan khas dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad yang akan bertanggungjawab merangka tindakan untuk mengatasi masalah kemerosotan bilangan pelajar lelaki Melayu di IPTA.

Beliau berkata, MT yang tidak senang hati dengan kedudukan pelajar lelaki Melayu di IPT telah membincangkan secara mendalam mengenainya termasuk punca kemerosotan itu berlaku.

``Antaranya terdapat gangguan kepada penuntut lelaki bumiputera oleh pihak tertentu supaya mereka tidak terdorong untuk meneruskan pelajaran di peringkat tertiari.

``Mereka terlalu terlibat dengan kegiatan lain sehingga tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran dan ramai yang sekadar mendapat kelulusan rendah,'' katanya.

Beliau mendedahkan hanya 33 peratus pelajar lelaki daripada keseluruhan pelajar Melayu di IPTA berbanding 67 peratus pelajar perempuan pada tahun lalu, dan bilangan pelajar lelaki itu merosot kepada 30 peratus berbanding 70 peratus pelajar perempuan tahun ini.

Justeru, katanya, badan khas itu akan menyediakan satu kertas kerja untuk merangka pelan tindakan bagi menyelesaikan masalah itu.

``Kita khuatir masa depan masyarakat kita kalau bilangan wanita terpelajar terus meningkat berbanding lelaki, (rakyat) akan sukar untuk mencari pasangan,'' katanya.

Oleh: MARHAINI KAMARUDDIN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum