Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 23 Mei 2001

Semua guru berijazah di sekolah menengah 2005

CYBERJAYA 22 Mei - Kementerian Pendidikan akan memastikan semua guru di sekolah menengah mempunyai kelayakan ijazah pertama menjelang tahun 2005.

Langkah ini dilakukan bagi meningkatkan tahap pendidikan negara dengan menyediakan guru-guru siswazah di semua peringkat sama ada di sekolah menengah mahupun di sekolah rendah.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Rafie Mahat berkata, menjelang tahun 2010 pula, Kementerian Pendidikan menjangkakan 30 peratus daripada guru di sekolah rendah mempunyai ijazah pertama.

``Pada peringkat permulaan ia akan dilaksanakan di sekolah menengah terlebih dahulu melalui program pensiswazahan guru-guru bukan siswazah dan melatih lebih ramai lepasan ijazah pertama menjadi guru pada masa hadapan.

``Ketika ini 70 peratus guru di sekolah menengah mempunyai ijazah pertama, kita harap menjelang 2005 jumlah itu dapat ditingkatkan menjadi 100 peratus,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Justeru kata Rafie, guru-guru yang tidak mempunyai ijazah perlu meningkatkan diri dengan mendapatkan pendidikan yang secukupnya.

``Mereka perlu belajar dengan masuk ke universiti, ini kerana kemasukan ke skim perkhidmatan kerajaan mesti mengikut kelulusan yang mereka peroleh,'' ujarnya.

Kementerian Pendidikan juga, kata Rafie, akan menempatkan guru siswazah di sekolah rendah secara berperingkat.

Bagaimanapun, ujarnya, langkah ini harus dilakukan secara berhati-hati bagi memastikan pelaksanaannya memberikan kejayaan yang diharapkan.

Menurut Rafie, guru siswazah ini perlu diberi latihan intensif yang membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran dan sistem pembelajaran di sekolah rendah.

``Jadi, kita akan tumpukan pada latihan seperti ini dalam menyediakan guru siswazah di sekolah rendah dan saya percaya mereka mampu melaksanakan tugas yang diberikan,'' tambahnya.

Oleh: ZULKIFLI BACHOK

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum