Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 25 Mei 2001

Jadual belajar berkumpulan formula kejayaan tiga graduan


GRADUAN cemerlang yang memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama melihat sijil penghargaan mereka selepas majlis penganugerahan Anugerah Siswazah Muslim Cemerlang 2000 di Bangi, Selangor semalam. - Gambar RAJA JAAFAR RAJA ALI

BANGI 24 Mei - Ketekunan mengatur dan mengikuti jadual belajar berkumpulan menjadi formula kejayaan tiga graduan bumiputera sehingga memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama di bidang geoinformatik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Suzana Abdul Samad dari Skudai, Johor, Nor Azimah Abdul Aziz dari Chemor, Perak dan Ahmad Fikri Abdullah dari Muadzam Shah, Pahang, bijak memanfaatkan pertemuan di kampus untuk membincangkan mengenai pengajian mereka yang banyak memerlukan kerja berkumpulan.

Ketiga-tiga mereka hari ini menerima Anugerah Siswazah Muslim Cemerlang 2000 bersama 11 graduan bumiputera lain yang turut mencatat kejayaan setara dari institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dalam negara.

Dua graduan Sains Komputer dan seorang graduan kejuruteraan dari UTM turut menerima anugerah tersebut.

Mereka yang lain ialah seorang graduan pengurusan perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), tiga pemegang sarjana muda sains dari Universiti Malaya (UM), seorang graduan sains bioperubatan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan tiga graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), masing-masing dalam bidang kimia gunaan, perakaunan dan sains geomatik.

Setiap graduan menerima wang tunai RM850, sijil penghargaan dan undangan menjadi ahli ASASI.

ASASI merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang dianggotai oleh kira-kira 300 profesional di bidang sains termasuk jurutera, saintis dan para pensyarah institusi pengajian tinggi (IPT).

Presiden ASASI, Prof. Dr. Shaharir Mohamad Zain yang juga profesor matematik di Fakulti Sains dan Teknologi UKM berkata, sejak anugerah itu diperkenalkan pada 1996, 70 graduan cemerlang bumiputera yang beragama Islam telah mendapat pengiktirafan berkenaan.

ASASI juga menerbitkan jurnal akademik, menganjurkan seminar tentang Dasar Sains Negara dan baru-baru ini menjalankan teknik pemetaan bagi mengenal pasti bidang yang boleh dijuarai oleh masyarakat bumiputera Islam di negara ini.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum