Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 25 Mei 2001

Guru digesa tekun curah ilmu terkini

TANJONG MALIM 24 Mei - Guru-guru digesa memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab mengajar ilmu terkini kepada pelajar dan bukannya terbabit dengan kempen membenci kerajaan.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, beliau kecewa kerana masih ada guru yang terlibat dengan kempen itu yang dijalankan sejak pelajar masih di peringkat sekolah tadika.

``Kalau kita asyik dalam soal perbezaan pendapat (dengan kerajaan), tidak mustahil akan berulang peristiwa kejatuhan Empayar Melaka di tangan penjajah Barat,'' katanya pada sesi Wacana PEMIKIR bertajuk Memartabat Profesion Perguruan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.

Wacana itu turut disertai oleh tiga ahli panel lain iaitu Pensyarah Jabatan Komunikasi Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Abdullah Hassan; Setiausaha Politik kepada Menteri Luar, Dr. Ku Rahman Ku Ismail dan Dekan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia UPSI, Prof. Madya Dr. Jabar Johari.

Majlis yang dianjur secara bersama oleh Kumpulan Utusan dan UPSI telah dipengerusikan oleh Dekan Fakulti Bahasa UPSI, Dr. Alias Mohd. Yatim.

Ia dihadiri oleh 1,095 pelajar baru UPSI yang telah memulakan pengajian pada 20 Mei lalu.

Turut hadir ialah Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Khalid Mohd. dan Ketua Bahagian Majalah Kumpulan Utusan, Maimunah Yusuf.

Muhammad menjelaskan, kejatuhan empayar Melaka pada tahun 1511 berpunca daripada kelalaian orang Melayu ketika itu untuk mempelajari ilmu dan teknologi tinggi setanding dengan masyarakat Barat.

Beliau menambah, penekanan kepada penguasaan ilmu pengetahuan itu juga akan membantu merealisasikan hasrat Malaysia untuk menjadi negara maju pada tahun 2020.

``Tidak memadai kita mempunyai bangunan tertinggi dan lapangan terbang terhebat sahaja, kerana untuk menjadi negara maju kita juga memerlukan bangsa berpengetahuan tinggi,'' tegasnya.

Ku Rahman dalam ucapannya, meminta guru supaya bersikap profesional apabila berurusan dengan pelajar.

``Profesional yang dimaksudkan ini ialah mereka harus memberi pengajaran terbaik kepada pelajar seperti yang diharapkan oleh ibu bapa dan kerajaan.

``Pengajaran ini haruslah berpandukan kepada falsafah pendidikan negara yang mahukan pelajar yang dilahirkan itu mempunyai akhlak mulia dan mencintai negara,'' katanya.

Oleh: MOHD. NIZAM MOHD. YATIM

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum