Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 26 Mei 2001

Musa: Penerbitan buku ilmiah kurang

KUALA LUMPUR 25 Mei - Kekurangan penerbitan buku ilmiah oleh ahli-ahli akademik di negara ini akan menyukarkan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan pendidikan dan pengetahuan di rantau ini.

Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamed berkata, statistik Perpustakaan Negara menunjukkan hanya 100 judul buku ilmiah dihasilkan setiap tahun.

Katanya, kadar itu tidak sejajar dengan jumlah tenaga akademik di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di negara ini yang meningkat dari semasa ke semasa.

``Ini tentulah tidak memadai memandangkan terdapat lebih 10,000 tenaga akademik di universiti awam di negara ini dan jumlah itu tidak termasuk ahli-ahli akademik di universiti swasta,'' katanya ketika berucap merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ke-20, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya, Datuk Hon Choon Kim.

Menurut Musa, trend tersebut juga tidak sejajar dengan perkembangan infrastruktur dan bilangan IPTA dan IPTS di negara ini yang pesat berkembang sejak sedekad lalu.

Beliau turut tidak berpuas hati dengan jumlah buku terbitan negara yang menurutnya sehingga kini sekitar 5,000 judul setahun.

Katanya, walaupun jumlah penerbitan di Malaysia menunjukkan peningkatan setiap tahun tetapi bilangan judul, bidang dan kepelbagaian media masih terhad.

Musa berkata, jumlah buku yang diterbitkan di negara ini juga masih rendah berbanding negara-negara lain seperti Jepun dan Korea yang menerbitkan 65,000 buku setahun.

Malah, jelas beliau, negara-negara Eropah termasuk Jerman dan United Kingdom menerbitkan 80,000 judul setahun.

``Dari segi bidang dan isi kandungan pula, masih terlalu banyak yang perlu diteroka khususnya bidang penyelidikan tempatan yang mempunyai kepentingan sejagat,'' katanya.

Mengenai pesta buku anjuran Majlis Buku Kebangsaan (MBK), Musa berkata, acara itu diharap dapat menarik sokongan dan sambutan lebih banyak pihak.

Katanya, MBK dan industri buku perlu melakukan promosi dan penganjuran yang bersifat profesional sahaja untuk menggalakkan budaya membaca di kalangan rakyat negara ini.

Beliau turut berharap supaya pesta tersebut menjadi pertemuan antara penerbit dan ejen buku dengan para pelanggan.

``Dan pada masa yang sama pesta ini mempertemukan para penulis, penyunting, penterjemah, pereka bentuk dan semua karyawan yang terlibat dalam industri ini,'' katanya.

Beliau berkata, para penerbit, penulis, penyunting, penyumbang kandungan dan ejen perdagangan perlu menjalankan aktiviti intensiti tinggi.

Beliau berkata, golongan tersebut juga perlu memainkan peranan untuk menjadikan cita-cita masyarakat bermaklumat sebagai satu realiti.

Jelasnya, organisasi penerbitan mesti berada di barisan hadapan ke arah merealisasikan matlamat pembangunan masyarakat berilmu.

Oleh: NORAINI ABDUL RAZAK

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum