Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 26 Mei 2001

Kampus Kejuruteraan USM Tronoh dipindah

NIBONG TEBAL 25 Mei - Kampus Kejuruteraan Universiti Sains

Malaysia (USM) yang sebelum ini di Tronoh, Perak, telah berpindah ke kampus barunya di Transkrian, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan dan akan memulakan sesi pengajiannya pada bulan depan.

Berikutan itu juga, kesemua 2,534 siswa-siswi jurusan kejuruteraan termasuk 811 siswa baru akan memulakan pengajian mereka di sini selepas pendaftaran pelajar baru pada 30 Mei ini.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dzulkifli Abdul Razak, selepas selesai pendaftaran siswa baru itu, para siswa lama pula akan mendaftar.

``Kampus ini lebih besar dan lebih lengkap berbanding kampus di Tronoh dengan semua kemudahan pembelajaran, kemudahan asas serta desa siswa, telah hampir 90 peratus siap.

``Kampus Transkrian ini juga mampu menampung kira-kira 3,000 siswa dalam dua desa siswa iaitu Murni dan Lembaran,'' katanya kepada pemberita selepas lawatan bersama media di Kampus Kejuruteraan Transkrian dekat sini hari ini.

Kampus Kejuruteraan USM ini telah berpindah dari kampus induk USM di Pulau Pinang ke Tronoh, Perak pada 1986 dan berpindah pula ke Transkrian pada Oktober 1997 secara berperingkat-peringkat dan selesai pada April 2001.

Sebagai kampus kejuruteraan, pihak USM telah melengkapkan kampus itu dengan beberapa ciri teknologi terkini yang sedang dan telah dijalankan penyelidikan dan pembangunan.

Antaranya ialah sistem perparitan terkini dan mesra alam yang dinamakan sistem saliran bioekologikal iaitu tidak akan kelihatan parit di sekeliling kampus itu.

Kampus itu juga akan mempunyai sistem teknologi berkomputer yang terkini, sistem pengajian aeroangkasa dan paling menarik mempunyai landasan kapal terbang serta pesawat pejuang F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk dijadikan bahan kajian siswa.

Menurut Dzulkifli, pemilihan Transkrian adalah paling sesuai kerana ia agak dekat dengan kampus induk USM di Gelugor, Pulau Pinang berbanding sebelum ini di Tronoh.

Oleh itu tambahnya, segala maklumat mengenai kampus baru ini seperti jalan masuk dan peta menuju ke kampus dari utara atau selatan, telah dihantar kepada semua siswa baru dan lama, sebulan lalu.

``Saya berharap semua siswa-siswi dan ibu bapa tidak mempunyai harapan tinggi untuk melihat kampus ini lengkap sepenuhnya apabila hari mendaftar nanti,'' jelasnya.

Beliau memberitahu, kampus itu dijangka akan siap sepenuhnya terutama di bahagian landskap sebelum akhir tahun.

Pada satu taklimat ringkas, Timbalan Naib Cancelor, Datuk Profesor Madya Jamaluddin Mohaiadin memberitahu, siswa baru untuk kemasukan bulan Mei ialah sebanyak 715 orang manakala untuk kemasukan bulan November depan ialah 96 orang.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum