Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 26 Mei 2001

B. Inggeris teknikal, cadangan tiga waktu seminggu

Oleh: ARSHAD KHAN
TIGA waktu seminggu perlu diperuntukkan untuk mengajar bahasa Inggeris teknikal elektif. Cadangan itu telah dikemukakan dalam Laporan Jawatankuasa Mengkaji Keperluan Mata Pelajaran Elektif Bahasa Inggeris untuk Sains dan Teknologi Di Sekolah Menengah Atas - jawatankuasa yang diarahkan penubuhannya oleh Menteri Pendidikan.

Bahasa Inggeris teknikal - yang merujuk kepada ``Bahasa Inggeris untuk Sains dan Teknologi'' - dicadangkan menjadi mata pelajaran elektif di peringkat sekolah menengah atas dengan peruntukan tiga waktu seminggu.

Bagaimanapun, bahasa Inggeris umum atau teras yang sedia ada juga perlu diambil oleh pelajar yang memilih elektif tambahan ini.

``Bahasa Inggeris sains dan teknologi itu hendaklah diteruskan di peringkat pra-universiti iaitu di tingkatan enam dan program matrikulasi,'' kata laporan jawatankuasa berkenaan.

Jawatankuasa berkenaan disertai oleh para profesional pendidikan, dan cadangan oleh mereka dibentangkan pada seminar sempena Hari Guru di Melaka baru-baru ini.

Ia turut disertai para pendidik di sekolah, institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) serta individu-individu yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam pendidikan Bahasa Inggeris.

Menurut laporan berkenaan, seandainya mata pelajaran tersebut tidak ditawarkan di peringkat pra-universiti, kemungkinan penguasaan Bahasa Inggeris sains dan teknologi yang diperolehi di peringkat sekolah menengah akan menurun.

Menjadikan Malaysia sebuah negara k-ekonomi, menuntut kepada sumber manusia yang cekap berbahasa Inggeris, kata laporan berkenaan.

Malangnya, maklum balas yang diterima oleh jawatankuasa tersebut menunjukkan bahawa penguasaan Bahasa Inggeris oleh segmen awam negara adalah di tahap terendah.

Pelajar pusat pengajian tinggi tidak mempunyai kemahiran cukup untuk mengakses bahan berbentuk teknikal dalam Bahasa Inggeris.

``Sementara pihak swasta pula sukar mendapat pekerja yang berkemampuan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris,'' kata laporan berkenaan.

Bahasa Inggeris sains dan teknologi diharap akan meningkatkan keupayaan memperolehi istilah khusus semasa mengikuti bidang pengajian teknikal tertentu.

Kemahiran teknikal menuntut keupayaan memahami dan mengikuti laras bahasa yang tertentu.

``Para pelajar akan dilatih untuk membiasakan diri dengan gaya penulisan yang tepat, ringkas dan jitu yang menggambarkan ciri laras teknikal,'' kata jawatankuasa berkenaan.

Menurut laporan tersebut juga, keperluan bahasa Inggeris lebih serius dalam bidang kejuruteraan yang melibatkan interpretasi spesifikasi piawaian tertentu bagi sesuatu prosedur kerja khusus.

``Kecekapan berkomunikasi dan berunding dalam Bahasa Inggeris,'' kata laporan itu.

Menjalin ``hubungan industri'' setaraf dengan negara luar, khususnya dalam urusan perundingan dengan pihak pembekal atau rakan kongsi perniagaan adalah perkara yang amat penting.

Secara teknikalnya, laporan tersebut menekankan bahawa bahasa Inggeris untuk sains dan teknologi berbeza dengan komponen bahasa Inggeris umum yang dipelajari kini.

``Namun, untuk mempelajari Bahasa Inggeris sains, penguasaan terhadap Bahasa Inggeris umum hendaklah diutamakan kerana ia akan membantu pelajar lebih cepat memahami Bahasa Inggeris sains,'' kata laporan berkenaan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum