PENDATANG ASING

Berita Harian 16 april 2001

Rakyat asing sertai demonstrasi akan diusir

Oleh Junita Mat Rasid

KUALA LUMPUR, Ahad – Rakyat asing yang terbukti menyertai demonstrasi jalanan secara militan akan diusir dan diharamkan daripada memasuki negara ini selepas itu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Zin.

Beliau berkata, tindakan lebih keras itu terpaksa diambil bagi memastikan demonstrasi jalanan secara militan yang berlaku di negara asing tidak merebak dan menggugat keselamatan negara ini.

“Jika mereka datang ke sini untuk menyertai pergerakan reformasi dan demonstrasi jalanan, kita akan usir dan haramkan mereka kembali ke negara ini pada masa akan datang.

“Dengan kuasa yang ada pada pasukan polis dan KDN (Kementerian Dalam Negeri) kita akan hantar mereka balik,” katanya kepada pemberita di Hari Keluarga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am di sini hari ini.

Hari Keluarga PDRM 2001 dirasmikan oleh Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Shahrizat Abd Jalil. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KDN, Datuk Aseh Che Mat dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mendedahkan, kumpulan reformasi merancang membawa masuk rakyat Indonesia untuk menyertai demostrasi jalanan secara militan di negara ini.

Kumpulan reformasi dikatakan bukan sahaja mendapat sokongan, malah nasihat daripada individu di negara jiran supaya datang ke Malaysia dan mengambil bahagian dalam demonstrasi jalanan.

Zainal Abidin berkata, pihaknya akan mengadakan operasi berterusan menahan rakyat asing yang memasuki negara ini secara haram.

“Jika mereka tidak ada dokumen perjalanan yang sah, kita akan hantar balik dan jika mereka buat kerja tidak elok (melanggar undang-undang), kita akan menahan mereka,” katanya.

Sementara itu, Norian berkata polis masih menjalankan siasatan mengenai sejauh mana pembabitan rakyat asing dalam gerakan reformasi dan penganjuran demonstrasi jalanan di sini.

“Tidak timbul soal polis membuat tangkapan besar-besaran. Apa yang kita buat ialah menahan mereka yang kita fikir wajar berdasarkan maklumat yang kita kumpul bagi menyekat perbuatan yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

“Setakat ini polis sudah menahan tujuh orang (rakyat tempatan mengikut ISA) tetapi itu tidak bermakna hanya tujuh orang sahaja sasaran kita,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, polis tidak akan memantau perkembangan kumpulan reformasi di Indonesia walaupun ia dikaitkan dengan kumpulan reformasi di negara ini.

“Reformasi di Indonesia di Indonesialah, jadi kita tidak perlu pantau dari sini secara terperinci...saya tidak fikir (pemantauan) perlu dibuat,” katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi