PENDATANG ASING

Utusan Malaysia01 April 2001

31 pendatang pukul polis, lari dari depot tahanan

SEREMBAN 31 Mac - Sebanyak 31 penghuni Depot Tahanan Sementara Imigresen di Lenggeng, Mantin dekat sini, bertindak ganas dengan memukul seorang anggota polis yang mengawal pintu masuk depot berkenaan sebelum melarikan diri, awal pagi ini.

Anggota polis terbabit yang berusia dalam lingkungan 20-an mengalami kecederaan di kepala serta tangan telah dimasukkan ke Hospital Seremban untuk mendapatkan rawatan. Beliau dibenarkan keluar dari hospital itu tengah hari ini.

Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 3.45 pagi semasa beberapa anggota polis sedang mengenal pasti dan menguruskan pendatang tanpa izin berkenaan untuk dihantar pulang ke negara masing-masing.

Semasa anggota polis begitu sibuk menguruskan penghantaran mereka, sekumpulan pendatang tanpa izin terbabit mengambil kesempatan menyerang seorang anggota polis yang sedang mengawal di pintu keluar di depot berkenaan.

Difahamkan mereka secara beramai-ramai menyerang anggota tersebut sebelum merampas kunci pintu pagar pusat tahanan itu dan terus melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Abu Khalid Hassan ketika dihubungi mengesahkan 31 pendatang tanpa izin yang terdiri daripada 21 rakyat Bangladesh dan 10 Indonesia melarikan diri dari depot berkenaan.

Mereka yang terbabit berumur antara 30 hingga 40 tahun.

``Bagaimanapun tiga pendatang tanpa izin dari Bangladesh itu berjaya ditahan semula di kawasan berhampiran kira-kira pukul 10 pagi ini,'' katanya di sini hari ini.

Kejadian terakhir penghuni pusat tahanan itu melarikan diri ialah pada 26 Julai 1999 yang melibatkan seramai 192 orang selepas berlaku kekecohan akibat masalah ketiadaan air selama tiga hari di depot itu.

Dalam usaha memberkas para pendatang yang melarikan diri itu, polis kini memperhebatkan gerakan melibatkan lebih 100 anggota dengan mengadakan sekatan jalan raya di kawasan berhampiran.

Abu Khalid memberitahu, operasi mengesan pendatang tanpa izin itu dilakukan di kawasan Lenggeng, Mantin, Broga dan Pantai.

``Kami turut mendapatkan bantuan daripada unit anjing pengesan untuk mengesan saki-baki rakyat asing yang melarikan diri,'' ujarnya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat di mana pendatang tanpa izin ini bersembunyi supaya menghubungi balai polis terdekat atau di talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban iaitu 06-7614444.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi