PENDATANG ASING

Utusan Malaysia 20 mac 2001

Bayi Indonesia diseludup dalam kotak ke Malaysia

Oleh: HABIBAH OMAR
PONTIAN 19 Mac - Polis Marin Indonesia hari ini mendedahkan satu sindiket penyeludupan bayi berusia antara tiga bulan ke setahun yang disembunyikan dalam kotak dan apabila sampai di negara ini ada di antaranya sudah mati kerana kesukaran bernafas.

Kegiatan itu bergiat aktif berikutan permintaan yang tinggi di kalangan penduduk di negara ini, kata Ketua Delegasi Polis Marin daerah Riau, Senior Inspektor, Drs. Dedy Fardika.

Menurut beliau, berdasarkan kejadian terbaru pihaknya mendapati bayi-bayi yang cuba diseludup datangnya dari Jakarta dan dilahirkan oleh pasangan yang tidak berkahwin.

Katanya, secara purata setiap bulan polis Riau mengesan satu hingga dua kes melibatkan penyeludupan bayi ke Malaysia.

Antara kawasan yang menjalankan kegiatan itu adalah Dumai, Tanjung Balai, Bengkalis dan Pulau Karimon.

Katanya, kegiatan sindiket itu dikesan ekoran tertangkapnya mereka yang terbabit ketika cuba menyeludup bayi dari Indonesia ke Malaysia melalui bot laju.

``Bayi-bayi berumur antara tiga bulan sehingga setahun itu dimasukkan ke dalam kotak dan diletakkan di dalam bot laju bertujuan mengabui mata pihak berkuasa.

``Apa yang menyedihkan ada antara bayi berkenaan telah meninggal dunia apabila polis mengeluarkannya dari kotak berkenaan kerana kesukaran bernafas dan ia adalah perbuatan yang tidak berperikemanusiaan,'' katanya di sini, hari ini.

Drs. Dedy bersama delegasi rombongan Polis Marin daerah Riau berada di negeri ini bagi mengadakan perbincangan dengan polis Johor mengenai beberapa perkara berbangkit di sebuah hotel di Johor Bahru, esok.

Jelasnya lagi, pihak beliau menghidu kegiatan penyeludupan bayi tersebut sejak tahun lalu dan pada awal tahun ini sahaja seramai empat orang telah ditahan.

``Kita akan menjalankan siasatan bagi menentukan kelompok yang menjalankan kegiatan jenayah itu dan dari semasa ke semasa menjalinkan kerjasama dengan polis Malaysia untuk membanteras kegiatan berkenaan,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi