PENDATANG ASING

Berita Harian 02 april 2001

Pendatang dipercayai bersembunyi di kebun


SEREMBAN, Ahad – Polis tidak menolak kemungkinan 17 pendatang tanpa izin yang masih belum dapat diberkas, bersembunyi di kawasan kebun milik penduduk kampung di kawasan Lenggeng, dekat sini.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Khalid Abu Hassan berkata, pendatang berkenaan berbuat demikian untuk memudahkan mereka mendapat sumber makanan berikutan operasi berterusan pihak polis.

Bagaimanapun, katanya pendatang tanpa izin terbabit tidak boleh bertahan dalam tempoh lama dan mereka akhirnya akan keluar juga.

“Setakat petang ini, polis sudah memberkas 14 daripada 31 pendatang tanpa izin terbabit,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, polis yakin pendatang tanpa izin yang masih belum diberkas dipercayai bersembunyi di sekitar kawasan Lenggeng akan ditangkap tidak lama lagi.

“Operasi besar-besaran membabitkan kira-kira 100 anggota dari Pasukan Gerakan Am (PGA) dan anggota polis biasa masih meneruskan usaha menjejaki mereka di kawasan berkenaan.

“Polis percaya mereka masih berada di kawasan berkenaan kerana mereka takut untuk keluar berikutan tidak mempunyai sebarang dokumen,” katanya.

Beliau mengulas mengenai tindakan pendatang terbabit yang terdiri daripada 21 warga Bangladesh dan 10 warga India yang melarikan diri dari depot tahanan sementera Imigresen, Lenggeng selepas mencederakan seorang pengawal kira-kira jam 3.45 pagi semalam.

Katanya, daripada 14 pendatang yang ditangkap semula itu, tujuh ada warga India manakala selebihnya ada Bangladesh.

Sekumpulan pendatang terbabit mengambil kesempatan menyerang aggota polis yang sedang mengawal pintu keluar depot berkenaan dan merampas kunci pintu pagar dan terus melarikan diri.

Kejadian itu berlaku ketika anggota polis sedang sibuk mengurus penghantaran pendatang terbabit yang berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an di depot berkenaan.

Sementara itu, Khalid berkata anggota polis berusia 20-an yang cedera ringan di tangan dan kepala dalam kejadian itu, diberikan rawatan pesakit luar di Hospital Seremban, di sini.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan melaporkan jika ternampak kehadiran pendatang terbabit di tempat mereka atau menelefon 06-7635522 atau hotline 06-7614444.

Dalam perkembangan lain Mohd Khalid berkata, kesemua pendatang tanpa izin yang diberkas itu akan didakwa kerana merusuh dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi