PENDATANG ASING

Utusan Malaysia 07 april 2001

Sekatan kemasukan peguam asing wajar

KUALA LUMPUR 6 April - Kalangan peguam tempatan menyokong pendirian tegas kerajaan tidak membenarkan kemasukan peguam asing untuk berkhidmat sebagai peguam di negara ini.

Mereka menyifatkan keputusan kerajaan itu amat wajar kerana ketika ini kawalan kemasukan peguam asing amat perlu bagi mempertahankan hak peguam tempatan.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Zaiton Datuk Othman menyatakan andainya kerajaan membenarkan kemasukan peguam asing tanpa berhati-hati, ia akan menjejaskan periuk nasi peguam tempatan.

``Ketika ini elok sangatlah tindakan kerajaan itu. Keutamaan wajib diberikan kepada kepakaran tempatan dalam pelbagai amalan undang-undang negara.

``Sekiranya pintu terbuka luas kepada peguam asing, kita khuatir keadaan akan memudaratkan peguam tempatan sehingga kehilangan hak mereka untuk terus bersaing kelak,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Rais Yatim berkata, kerajaan tidak akan membenarkan peguam-peguam asing mengamalkan profesion mereka di negara ini seperti yang dimahukan oleh Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

Menurutnya, selagi tidak ada jaminan untuk peguam tempatan mendapat peluang yang sama di negara maju, maka tidak ada keperluan untuk Malaysia berkongsi kepakaran dengan mereka.

Malah, beliau turut berkeyakinan ketika ini negara mempunyai kepakaran guaman yang mencukupi untuk menjaga keperluan perundangan rakyat dan tidak menghadapi sebarang masalah mengenainya setakat ini.

Zaiton mencadangkan, kajian terperinci mengenai syarat-syarat tertentu dalam WTO secara keseluruhannya perlu dilakukan sebelum kerajaan mempertimbangkan polisi baru membuka peluang tersebut bagi tujuan berkongsi kepakaran dan pengalaman.

``Peluang dan bidang kuasa peguam asing perlu dihadkan manakala kepakaran perundangan tempatan akan menentukan arah tujuan firma yang dibangunkan bersama umpamanya,'' ujarnya.

Pengamal undang-undang, Pawancheek Marican juga sependapat dengan Zaiton bahawa negara ketika ini tidak memerlukan kepakaran dari luar.

Katanya, tidak semua bidang perundangan dari luar dapat diadaptasi dan diamalkan di negara ini.

Menurut Pawancheek, jika ada pun hanya di bidang tertentu seperti undang-undang perdagangan yang mempunyai hubung kait dengan komersial antaranya perbankan dan sekuriti.

``Kita tidak nampak kepakaran luar boleh menyumbang dalam undang-undang adat, jenayah dan syariah.

``Lebih daripada itu, hak peguam-peguam tempatan akan terjejas ekoran persaingan sengit daripada peguam asing sehingga menjejaskan periuk nasi,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi