Make your own free website on Tripod.com

PENDATANG ASING

Utusan Malaysia 22 april 2001

Dasar buruh asing mungkin dikaji semula

KOTA TINGGI 21 April - Malaysia mungkin menimbang semula dasar pengambilan buruh asing jika kemasukan mereka ke negara ini hanya menimbulkan masalah seperti ancaman keselamatan ke atas Kedutaan Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, hasrat baik Malaysia membenarkan kemasukan buruh asing untuk mencari rezeki perlu dikaji semula jika ia mengakibatkan pelbagai ancaman seperti yang berlaku kepada Pejabat Konsul Malaysia di Pontianak, Indonesia.

Menurut beliau, jika sikap tidak menghormati undang-undang negara lain itu berterusan, maka sukar untuk Malaysia terus membuka peluang kepada orang luar bekerja di sini.

``Kalau macam ini kita kena fikir sama ada patut atau tidak, orang luar bekerja di negara kita kerana banyak sangat masalah yang timbul,'' katanya kepada para pemberita sebelum merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO bahagian Kota Tinggi di sini, hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika ditanya sama ada ancaman serangan oleh rakyat negara itu ke atas Konsul Malaysia di Pontianak ekoran kemarahan rakyat tempatan terhadap insiden-insiden melibatkan pembantu rumah yang berasal dari Kalimantan di Sarawak akan menjejaskan hubungan Malaysia dan Indonesia.

Selain di Pontianak, pejabat konsul negara di Medan turut menerima ancaman yang sama daripada nelayan-nelayan negara itu yang membantah tindakan pihak berkuasa Malaysia ke atas pencerobohan oleh rakan-rakan mereka.

Dalam hubungan ini, Syed Hamid berkata, hubungan antara kedua-dua negara tidak ada masalah. Bagaimanapun tegas beliau, kerajaan negara jiran itu perlu memastikan keselamatan kedutaan dan Pejabat Konsul Malaysia.

Walaupun pejabat konsul itu tidak ditutup tetapi kerajaan mengeluarkan arahan supaya mereka pulang berikutan ancaman oleh rakyat Indonesia di sana untuk mengadakan demonstrasi yang dikhuatiri akan menjadi rusuhan ganas.

Malaysia berharap kerajaan Indonesia akan bertegas terhadap rakyatnya yang bertindak di luar batasan undang-undang bagi mengelakkan sebarang tindak-tanduk penduduk republik itu mengeruhkan hubungan kedua-dua negara.

Tambah Syed Hamid, negara jiran itu perlu menjelaskan kepada rakyatnya bahawa mereka tidak boleh bertindak sembarangan, sebaliknya perlu menggunakan saluran undang-undang bagi menyelesaikan setiap masalah.

``Kita berharap Indonesia akan ambil tindakan yang tegas dan beritahu rakyatnya bertindak ikut saluran undang-undang dan peraturan.

``Keadaan begini (ancaman serangan terhadap Konsul Malaysia) hanya boleh mengeruhkan hubungan antara negara yang bersaudara,'' katanya.

Beliau berkata, rakyat Indonesia juga perlu diberi kefahaman bahawa setiap warganegara asing yang bekerja di negara ini tertakluk kepada undang-undang dan peraturan Malaysia.

``Tradisi ini perlu dipelihara. Jika ada perkara yang berbangkit, di sini ada undang-undang untuk lindungi dan ambil tindakan.

``Kita tidak menafikan hak mana-mana pihak sama ada mereka penduduk tempatan atau rakyat asing,'' jelasnya.

Oleh: AZNAN BAKAR

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi