Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 06 Mei 2001

Tiga ketua bahagian dibatal -- Didapati bersalah terbabit dalam politik wang semasa pemilihan UMNO

KUALA LUMPUR 5 Mei - Tiga ketua UMNO bahagian dibatalkan kemenangan mereka kerana didapati bersalah terbabit dalam politik wang pada pemilihan bahagian parti itu baru-baru ini.

Mereka ialah Ketua Bahagian Gopeng, Mustafa Kamal Mohd. Nawi; Ketua Bahagian Muar, Datuk Abdullah Omar dan Ketua Bahagian Baling, Datuk Zainol Md. Isa.

Perlucutan jawatan mereka berkuat kuasa serta-merta dan kekosongan jawatan akan dipangku oleh timbalan ketua Bahagian masing-masing.

Tiga tertuduh lain yang turut didapati bersalah ialah calon Timbalan Ketua Bahagian Bagan Serai, Zaki Din; Ketua Penerangan Bahagian Selayang, Rahmat Abdullah dan Ketua Penerangan Bahagian Gopeng, Mohamad Annuar Baharuddin.

Semua yang terlibat juga terlucut jawatan serta-merta.

Ini merupakan keputusan pertama yang dibuat oleh Lembaga Disiplin UMNO daripada 66 aduan yang telah didengar oleh lima tribunal di bawah lembaga itu.

Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen berkata, daripada 15 kes yang telah dibuat keputusan itu, sembilan kes didapati tidak bersalah.

Katanya, mereka yang didapati bersalah berhak merayu kepada Majlis Tertinggi (MT) menurut Fasal 20.6 perlembagaan parti.

``Peruntukan perlembagaan parti tidak menetapkan tempoh masa kepada mereka untuk membuat rayuan kepada Majlis Tertinggi.

``Bagaimanapun, semua yang terbabit perlu membuat rayuan secepat mungkin,'' katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat parti di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, antara kesalahan politik wang yang dilakukan ialah seperti membawa anggota UMNO melawat keluar negera dan mengadakan lawatan secara rombongan.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan kesalahan enam anggota itu satu persatu.

Mustafa Kamal, Zainol, Mohamad Annuar, Rahmad dan Abdullah digantung hak untuk memilih, dipilih dan dilantik ke sebarang jawatan di semua peringkat sehingga 2007.

Zaki pula digantung hak itu selama dua kali pemilihan parti peringkat cawangan, bahagian dan MT dari tarikh hukuman.

Sementara mereka yang didapati tidak bersalah ialah Ketua Bahagian Lipis, Datuk Omar Othman; Ketua Pemuda Bahagian Pontian, Hasni Mohamad; Ahli Jawatankuasa Bahagian Pontian, Shahril Ismail dan Ketua Bahagian Bagan Serai, Datuk Zainal Abidin Zain.

Lima anggota lain yang turut didapati tidak bersalah ialah Ketua Bahagian Lumut, Datuk Mohd. Wajidi Ishak; Ahli Cawangan Bahagian Seremban, Ishak Abdul Malek; Ketua Bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail; Ketua Pemuda Bahagian Selayang, Abdul Shukor Idrus dan Ketua Cawangan Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Mokhtar Samad.

Mohd. Wajidi menewaskan pencabarnya, Dr. Zambry Abdul Kadir yang juga Ketua Pemuda UMNO Lumut.

Pada sidang akhbar itu juga, Rithaudeen memberitahu setakat ini Lembaga Disiplin telah menerima sebanyak 338 aduan.

Daripada jumlah itu, katanya, 32 kes masih dalam perbicaraan, 66 kes telah dibicarakan dan 44 kes telah dirujuk ke jawatankuasa pemilihan parti.

Sebanyak 42 kes pula telah dikategorikan sebagai tidak jelas, lapan kes ditolak dan sebanyak 176 kes masih belum disaring.

Beliau menambah daripada analisis didapati hanya 40 peratus aduan yang diterima adalah di bawah bidang kuasa lembaga, manakala, selebihnya adalah di bawah Jawatankuasa Pemilihan Badan Perhubungan UMNO negeri.

``Ini ada kaitan dengan mesyuarat agung cawangan dan bahagian yang mana bidang kuasanya tidak jatuh kepada Lembaga Disiplin,'' katanya.

Pada pemilihan bahagian Gopeng baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin tewas enam undi kepada Mustafa Kamal. Abdul Aziz memperoleh 129 undi manakala Mustafa Kamal 135 undi.

Abdullah yang juga Timbalan Pengerusi Eksekutif KFC Holdings (M) Berhad mengetepikan penyandang Ketua Bahagian Muar, Abdul Malik Munip dengan majoriti 45 undi.

Perebutan Ketua UMNO Bahagian Baling pula menyaksikan Zainol yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kupang meraih 262 undi menewaskan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Raja Ariffin Raja Sulaiman yang memperoleh 155 undi.

Sementara itu, seorang ahli Lembaga Disiplin UMNO, Datuk Nakhaie Ahmad berkata, semua keputusan yang dibuat hari ini adalah muktamad.

Ditanya jika ada pihak tidak berpuas hati dengan keputusan itu terutama terhadap individu yang merasakan dirinya tidak bersalah, beliau berkata:

``Itu bukan persoalan melainkan jika dia ada dakwaan lain dengan dikemukakan sekali bukti yang kukuh, bolehlah dia membuat rayuan,'' katanya.

Mengikut perlembagaan parti, kata beliau, kekosongan jawatan ketua bahagian akan dipangku oleh timbalannya.

``Jika rayuan ketua bahagian yang didapati bersalah itu diterima oleh MT, maka automatik dia boleh memegang semula jawatannya itu,'' katanya.

Oleh: ZULKIFLI JALIL dan HAMDEN RAMLI

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum