Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 06 Mei 2001

Mereka buat apa saja - TPM

KUALA LUMPUR 5 Mei - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, para penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan apa sahaja untuk menumbangkan kerajaan.

Katanya, ini termasuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan yang didakwa telah menafikan hak Anwar memilih kaedah rawatan di luar negara.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan, segala tindakan dan keputusan yang diambil oleh kerajaan berhubung kes kesihatan Anwar adalah mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada.

``Mereka akan buat apa saja, kalau boleh nak bagi lingkup kerajaan ini,'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Jogathon Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan peguam-peguam Anwar yang sedang memikirkan kemungkinan mendakwa kerajaan kerana dikatakan telah menafikan hak Anwar memilih kaedah rawatan di luar negara seperti dinyatakan di bawah Seksyen 37 Akta Penjara 1995.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Rais Yatim ketika diminta mengulas perkara yang sama menjelaskan, Anwar tidak boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas kerajaan kerana di bawah Akta Penjara 1995, tidak ada peruntukan yang membolehkan Anwar berbuat demikian.

Beliau berkata, di dalam Akta Penjara tidak ada peruntukan yang memerlukan seseorang tahanan itu diberi rawatan kesihatan khusus di luar negara atau di mana-mana peringkat yang tertentu.

Katanya, seorang pesakit di kalangan banduan hanya boleh mendapatkan rawatan dari hospital dan punca-punca lain yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Penjara.

Justeru jelas Rais, soal untuk menidakkan rawatan kepada Anwar tidak timbul sebab kesemua kemudahan dalam negara telah diberikan kepada beliau.

Pada Rabu lalu, isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memberitahu sidang akhbar bahawa suaminya telah menolak tawaran untuk menjalani pembedahan mikroskopik disektomi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Mengulas lanjut mengenai bila Anwar akan dihantar pulang ke penjara, Abdullah berkata, keputusan tersebut terpulang kepada jabatan-jabatan yang terlibat di dalam hal itu.

``Soal sama ada akan dibawa pulang dalam tempoh terdekat atau lewat, itu saya serahkan kepada jabatan terlibat,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum