Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 06 Mei 2001

Pas tidak pernah ikhlas - Mustapa

KOTA BHARU 5 Mei - Pas tidak pernah ikhlas dalam kenyataannya di samping itu setiap tindak-tanduknya juga berpandukan kepada keuntungan dan kerugian politik, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Mustapa Mohamed.

``Sebagai parti pembangkang yang tidak bertanggungjawab, mereka tidak melihat kepada fakta. Faktanya, UMNO nak pupuk persaudaraan, tetapi kita tahu Pas sentiasa cuba mencari jalan untuk mendapatkan kepentingan politik daripada segala tindak-tanduknya.

``Sebelum mereka bersetuju mengenai sesuatu, yang penting (bagi Pas) adalah politik akar umbi, bukan untuk kepentingan dan kesejahteraan ummah dan bangsa. Itu tidak jadi pertimbangan mereka,'' katanya kepada pemberita di sini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam yang berkata, beliau sengaja mahu memerangkap UMNO apabila membuat kenyataan meminta anggota Pas jangan memulaukan anggota UMNO kerana ia merugikan Pas.

Menurut Mustapa, Pas tidak pernah memikirkan keikhlasan dalam tindakan mereka tetapi lebih mementingkan undi pada pilihan raya.

Sehubungan itu, katanya, UMNO akan sentiasa berhati-hati dengan tindak-tanduk parti pembangkang itu kerana setiap kenyataan mereka tidak boleh dilihat dari segi asas-asas nilai kerana ia mempunyai agenda tersembunyi.

Dalam pada itu, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, UMNO negeri telah membuat keputusan untuk menyusun semula biro-biro berikutan keputusan pemilihan bahagian telah pun berakhir dengan menyaksikan tiga muka baru ke dalam Badan Perhubungan UMNO negeri iaitu Datuk Dr. Nik Zain Omar, Nor Zaidi Omar dan Zaid Ibrahim.

Beliau berkata, Dr. Nik Zain akan mempengerusikan biro latihan, Zaid dilantik sebagai pengerusi biro pengaduan awam, perkhidmatan dan undang-undang sementara Nor Zaidi akan mengepalai biro perhubungan pegawai kerajaan.

Sementara itu, kata Mustapa, UMNO negeri juga memutuskan untuk mengadakan hubungan lebih erat dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang kini sedia terjalin.

Beliau berkata, UMNO negeri juga akan mengadakan pidato perdana siri kelima pada 18 Mei ini di Pasir Puteh yang kemudiannya akan dipasarkan dalam bentuk cakera padat.

``Pada tarikh itu juga kita bercadang untuk melancarkan Puteri UMNO Kelantan dan saya akan berunding dengan Ketua Penaja Puteri UMNO pusat,'' katanya.

Oleh: YULPISMAN ASLI

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum