Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 06 Mei 2001

Megat Junid bersara dari politik

KUALA LUMPUR 5 Mei - Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob, 59, hari ini mengumumkan persaraannya daripada arena politik atas alasan kecewa terhadap amalan politik wang pada pemilihan bahagian UMNO.

Menurut Megat Junid, keputusan itu dibuat selepas beliau tewas kepada Timbalan Menteri Pengangkutan, Tan Sri Ramli Ngah Talib dalam pemilihan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Perak, pada 15 April lalu.

Beliau yang telah aktif selama 30 tahun dalam UMNO mendakwa, amalan politik wang adalah faktor kekalahan tipisnya pada pemilihan ketua bahagian berkenaan.

``Selama ini saya tidak pernah merasakan penangan politik wang seperti yang dialami pada pemilihan baru-baru ini,'' katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu membuat tuduhan melulu berikutan tidak ada bukti kukuh yang boleh dikaitkan dengan pihak terbabit.

``Ada perwakilan dalam bahagian itu bertemu dengan saya dan mendakwa menerima wang sebanyak RM500 yang diberikan oleh individu tertentu,'' katanya kepada Mingguan ketika ditemui di kediamannya di Kelana Jaya dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas kekalahannya kepada Ramli dengan majoriti 11 undi pada pemilihan bahagian Pasir Salak, 15 April lalu.

Megat Junid mendapat 191 undi, manakala Ramli memperoleh 202 undi.

Pada pilihan raya umum 1999, Megat Junid tewas kepada calon Pas, Mat Basir Rahmat bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Parit dengan majoriti 1,293 undi.

Mengulas lanjut mengenai kekalahannya di Pasir Salak, Megat Junid mendakwa, beliau tidak mempunyai pengalaman bertanding pada peringkat bahagian kerana sering menang tanpa bertanding sepanjang 18 tahun menjadi timbalan ketua bahagian tersebut.

``Bukan prinsip saya untuk membeli kuasa dengan duit. Minta maaflah. Kalau setakat belanja minum kopi di warung bolehlah,'' tegasnya.

Ditanya sama ada beliau akan membuat laporan kepada polis dan Lembaga Disiplin UMNO mengenai gejala itu, beliau berkata: ``Tidak payahlah. Sukar untuk mencari bukti kukuh untuk menuduh seseorang.''

Menurut beliau, keengganan saksi untuk tampil bagi membuktikan kewujudan gejala itu menyebabkan bukti salah laku itu sukar diperoleh.

``Siapa yang mahu menjadi saksi untuk membuktikan dirinya turut menerima wang daripada seseorang,'' tegasnya.

Dalam menangani masalah politik wang, katanya, orang bawahan yang menerima wang tersebut tidak boleh dipersalahkan sekiranya orang atasan tidak memulakannya terlebih dahulu.

Beliau menarik perhatian, kini sesiapa yang mahu menjadi pemimpin, tidak boleh bersikap gentleman jika tidak mempunyai wang.

``Perlu ada unsur-unsur wang untuk membeli perwakilan yang mahukan wang jika hendakkan sokongan,'' katanya.

Kumpulan perwakilan tersebut, katanya, adalah golongan yang bermuka-muka dan menyokong calon yang menaburkan jumlah wang banyak.

Beliau menegaskan, UMNO akan hancur jika gejala tersebut tidak dibendung secara serius kerana kuasa ditentukan dengan wang dan pemimpin dilahirkan menerusi kekuatan ekonominya, bukan kredibiliti.

``Jangan digadaikan maruah dengan wang, UMNO akan hancur lebur. Jangan beli kuasa dengan wang,'' tegas beliau.

Mengulas mengenai persaraannya, beliau tidak akan melayan desakan mana-mana pihak yang mahukan dirinya bertanding di peringkat bahagian atau pilihan raya umum akan datang.

Persaraannya itu, kata beliau, akan memberi peluang kepada lebih ramai pemimpin muda menunjukkan bakat dalam UMNO.

``Cukuplah pengalaman saya selama sembilan tahun sebagai Setiausaha Politik Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, 13 tahun sebagai timbalan menteri, empat tahun sebagai menteri penuh,'' katanya yang berjanji untuk terus membantu UMNO biarpun tanpa jawatan.

Karier politik Megat Junid bermula pada tahun 1972 apabila menyertai UMNO dan dipilih menjadi Ketua Pemuda UMNO bahagian Alor Setar.

Pada 1 Januari 1975, Dr. Mahathir yang ketika itu menjadi Menteri Pelajaran melantik Megat Junid sebagai pegawai khasnya sebelum dilantik sebagai Setiausaha Politik Dr. Mahathir setahun kemudian sehingga 1984.

Masa depan politiknya dilihat cerah apabila beliau memenangi pilihan raya umum 1982 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri kawasan Pasir Salak.

Seterusnya, beliau dipilih menjadi Timbalan Ketua UMNO bahagian Pasir Salak pada tahun 1984 dan pada tahun yang sama dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Utama.

Pada pilihan raya umum 1986, Megat Junid sekali lagi memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Pasir Salak dengan majoriti melebihi 10,000 undi.

Sejak tahun itu hingga 1997, beliau memegang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri sebelum dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sehingga 1999.

Pengaruhnya di Pasir Salak semakin kukuh apabila memenangi pilihan raya umum 1990 dengan majoriti melebihi 15,000 undi.

Megat Junid sekali lagi memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri itu pada pilihan raya umum 1995 dengan majoriti sebanyak 17,300 undi. Bagaimanapun karier politiknya mengalami kejutan pada pilihan raya umum 1999 apabila tewas kepada Mat Basri bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Parit.

Megat Junid juga memegang jawatan Timbalan Ketua UMNO bahagian Pasir Salak sejak 1984 sebelum tewas apabila mencabar Ramli bagi jawatan ketua bahagian itu pada 15 April lalu.

Oleh: YUSRI SAHAT

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum