Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 08 Mei 2001

PM: Hormati keputusan Lembaga Disiplin UMNO


SEBAHAGIAN pelajar mengambil kesempatan bersalam dengan Dr. Mahathir semasa Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPTA Bersama Perdana Menteri, di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah semalam.

KANGAR 7 Mei - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menghormati keputusan Lembaga Disiplin UMNO yang menggantung enam pemimpin parti kerana terbabit dalam amalan politik wang semasa proses pemilihan peringkat bahagian parti yang baru berakhir.

Presiden UMNO itu berkata secara peribadi beliau akan menyokong keputusan terhadap mereka apabila dikemukakan kepada Majlis Tertinggi UMNO tidak lama lagi.

Mereka yang dijatuhi hukuman ialah Ketua Bahagian UMNO Gopeng Mustapa Kamal Mohamed Nawi, Ketua Bahagian Muar Datuk Abdullah Omar, Ketua Bahagian Baling Datuk Zainol Mohamed Isa, calon Timbalan Ketua Bahagian Bagai Serai Zaki Din, Ketua Penerangan Bahagian Selayang Rahmat Abdullah dan Ketua Penerangan Bahagian Gopeng Mohamad Annuar Baharuddin.

Hukuman terhadap mereka termasuk digantung hak bertanding atau dilantik sebarang jawatan dalam parti selama enam tahun dan hilang hak mengundi pada pemilihan parti di semua peringkat sepanjang tempoh itu.

``Walau ada rayuan, pujukan, hulur wang, menangis... keputusan itu dianggap muktamad,'' kata Perdana Menteri pada majlis perjumpaan dengan para pemimpin masyarakat negeri Perlis di Dewan Residensi di sini hari ini.

Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen mengumumkan keputusan kes itu Sabtu lepas setelah menyiasat 15 kes dengan sembilan kes didapati tidak bersalah.

Dr. Mahathir berkata hukuman ke atas mereka hanya akan berkuatkuasa selepas Majlis Tertinggi UMNO membuat keputusan.

Katanya UMNO akan menjadi parti yang jijik jika perasuah dipilih sebagai pemimpinnya sama ada di peringkat bahagian atau cawangan.

``Apabila pemimpin dipilih secara rasuah apakah mereka dapat berkhidmat dengan baik?'' tanya beliau.

Beliau percaya ramai yang mengamalkan rasuah tetapi terlepas daripada hukuman kerana tidak cukup bukti.

Dr. Mahathir memberi contoh berdasarkan pengalamannya sebagai pengamal perubatan bahawa bahagian yang rosak dan kotor perlu dibuang bagi menyelamatkan bahagian yang lebih besar.

``Yang mana busuk dan buruk kita potong, kecuali kepala,'' katanya sambil mengambil contoh penyakit di betis yang akan memberi kesan buruk jika bahagian yang rosak tidak dibuang.

Merujuk kepada parti, beliau berkata perkara-perkara yang buruk dan jijik perlu disingkirkan kerana jika masih disimpan, akan merosakkan parti itu.

Beliau percaya ada yang tidak lagi memberi sokongan kepada parti selepas mereka tersingkir sebaliknya jika mereka masih lagi disimpan ia tidak akan mampu menarik sokongan orang lain untuk menyertai parti.

``Kalau sayangkan parti, tolak pemimpin yang kotor,'' katanya.

Beliau berharap anggota-anggota UMNO mengutamakan parti daripada kepentingan peribadi demi masa depan negara.

Dr. Mahathir berkata ada pemimpin yang kecewa hingga sanggup meninggalkan parti kerana tidak mencapai matlamat yang mereka idamkan.

Sepatutnya mereka yang sayangkan UMNO perlu berkorban dan tidak boleh merajuk dengan meninggalkan parti.

``Kalau masuk UMNO tapi tak sayangkan parti, pentingkan diri... mereka patut disingkirkan,'' katanya.

Menurutnya beliau juga pernah dipinggirkan daripada UMNO suatu ketika dahulu tetapi masih tetap sayangkan parti itu.

``Saya dulu kena buang (singkir daripada UMNO), bila panggil masuk, saya masuk balik,'' katanya.

``Dulu ada pemimpin yang tentang saya, Dollah Badawi (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi), Tengku Razaleigh Hamzah, Hamid Albar (Datuk Seri Syed Hamid Albar), Kadir (Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir) dan Radzi (Datuk Radzi Sheikh Ahmad), tapi mereka masih tetap sayangkan UMNO,'' katanya.

Mereka kini masih berada dalam parti walaupun pernah tidak sehaluan dengannya.

``Asalkan berjiwa UMNO, saya tak ada hak hendak tolak mereka,'' katanya.

Dr. Mahathir menegaskan bahawa UMNO sepatutnya menjadi parti yang lebih kuat tetapi kekuatan itu terjejas akibat perbuatan segelintir pemimpin yang pentingkan diri.

``UMNO kuat tapi tidak seperti dulu, Pas tak kuat tapi untung kerana kelemahan tertentu dalam UMNO,'' katanya.

Katanya dalam jangka masa lebih 50 tahun usia UMNO, banyak perkara telah berubah termasuk sikap dan sifat anggota UMNO itu sendiri.

Antara perubahan itu ialah ada segelintir yang menyertai UMNO semata-mata untuk mendapat keuntungan peribadi.

Sepatutnya, kata Dr. Mahathir, mereka perlu menjadi anggota parti yang ikhlas dan tidak mudah merajuk apabila gagal dalam pertandingan.

Masalah yang berlaku sekarang ialah mereka yang tewas cepat merajuk dan membawa diri manakala yang menang tidak mahu menerima yang kalah.

Jika keadaan itu berterusan, kekuatan UMNO akan terjejas begitu juga dalam usaha memenangi pilihan raya akan datang, katanya. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum