Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 08 Mei 2001

Siasatan adil, tanpa tekanan mana-mana pihak

KUALA LMPUR 7 Mei - Lembaga Disiplin UMNO menjalankan siasatan yang adil tanpa sebarang keraguan atau tekanan daripada mana-mana pihak terhadap pemimpin parti yang didapati bersalah terlibat dalam politik wang.

Ahlinya, Datuk Nakhaie Ahmad menegaskan, tidak timbul soal lembaga itu bersikap berat sebelah atau cuba mensabotaj seseorang pemimpin kerana siasatan dibuat tanpa mengira kedudukan mereka dalam parti dan kerajaan.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya mengakui tidak dapat mengelak daripada dipertikaikan oleh pihak yang disiasat, lebih-lebih lagi individu yang didapati bersalah.

``Kebiasaannya yang bersalah mesti mempertikaikan kewibawaan lembaga disiplin tetapi kita juga ada maruah kerana tugas ini demi untuk menegakkan keadilan.

``Bagi yang bersalah mereka boleh merayu kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO tetapi hasil siasatan lembaga ini memutuskan mereka memang bersalah,'' katanya ketika dihubungi Utusan hari ini.

Beliau mengulas tindakan beberapa pemimpin UMNO menafikan penglibatan mereka dalam politik wang setelah mereka didapati bersalah oleh lembaga disiplin parti, Sabtu lalu.

Semalam, Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Zainol Md. Isa berkata, tuduhan bahawa beliau menggunakan persatuan belia untuk kepentingan politik tidak benar sebaliknya semua itu diatur mengikut program kerajaan negeri.

Calon Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Zaki Din pula menjelaskan bahawa tuduhan beliau membawa ahli-ahli UMNO bahagian itu mengikut rombongan ke Thailand untuk kepentingan diri sendiri adalah tidak benar.

Katanya, rombongan itu dibuat atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan (LPPK) Gunung Semanggol/Selinsing.

Selain Zainol dan Zaki, empat yang lain turut didapati bersalah iaitu Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Mustafa Kamal Mohd. Nawi, Ketua Bahagian Muar, Datuk Abdullah Omar, Ketua Penerangan Bahagian Selayang, Rahmat Abdullah dan Ketua Penerangan Bahagian Gopeng, Mohamad Annuar Baharuddin.

Nakhaie berkata, mengikut prosedur, lembaga disiplin akan memanggil pengadu dan saksi-saksi untuk mendengar dakwaan yang dibuat terhadap tertuduh.

Setelah tuduhan diteliti berulang-ulang kali, pihaknya kemudian memanggil tertuduh untuk memberi keterangan termasuk penafian.

``Kita tidak mahu sekadar hear say (percakapan lisan) sahaja. Pengadu dan tertuduh mengemukakan bukti tuduhan dan penafian masing-masing.

``Kita menilai mereka dan saksi-saksi. Kebiasaannya mereka yang berbohong dapat kita kenal pasti,'' katanya.

Menurutnya, ada kes pengadu menghadapi sedikit salah faham dengan pihak yang dituduh sebelum pemilihan lagi.

``Keraguan ini pun kita ambil kira,'' katanya.

Nakhaie berkata, bagi menyiasat semua aduan, lembaga disiplin menubuhkan empat tribunal, masing-masing dianggotai tiga orang termasuk pengerusi.

``Anggota yang berasal dari negeri sama dengan tertuduh tidak dibenarkan mengendalikan siasatan. Ini bagi mengelakkan timbul berat sebelah.

``Biasanya dalam sehari dari pukul 9 pagi hingga 5 petang cuma dua kes sahaja disiasat dan paling banyak pun empat kes,'' katanya.

Mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semalam bahawa MT akan mengesahkan keputusan lembaga disiplin itu dalam mesyuarat akan datang, Nakhaie berkata:

``Lembaga ini adalah badan bebas dan berkecuali. Jika tidak disahkan (keputusan), kenalah dipanggil balik orang yang didapati bersalah itu untuk disiasat semula.

``Apa pun nak elakkan orang pertikaikan keputusan kita mana boleh, sebab mereka yang kena mesti mempertikaikan,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum