Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 10 Mei 2001

Tindakan tegas terhadap ahli buat tuduhan palsu

KUALA LUMPUR 9 Mei - Ahli UMNO yang membuat tuduhan palsu dan tidak berasas berhubung politik wang terhadap seseorang calon pada pemilihan bahagian baru-baru ini akan dikenakan tindakan tegas.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, ia bagi mengelakkan Lembaga Disiplin parti daripada menjadi tempat melempar pelbagai tuduhan liar.

Bagaimanapun, menurutnya, terserah kepada Lembaga Disiplin untuk menentukan bentuk tindakan tersebut.

`Dari awal lagi, sudah kita kata dan Presiden pun menyatakan untuk elak daripada Lembaga Disiplin menjadi tempat dilemparkan pelbagai tuduhan, maka mereka yang telah pun membuat tuduhan liar dan tidak berasas mungkin dikenakan tindakan juga,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin UMNO di Ibu Pejabat parti, di sini, hari ini.

Abdullah mengulas gesaan Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Zainal Abidin Zin semalam supaya UMNO mengambil tindakan tegas ke atas ahli yang membuat aduan palsu berkaitan politik wang bagi mengelakkan perbuatan itu berulang.

Zainal Abidin adalah antara sembilan pemimpin bahagian parti yang didapati tidak bersalah oleh Lembaga Disiplin berhubung dakwaan politik wang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 31 Mac lalu mengingatkan pihak yang membuat tuduhan politik wang bahawa tindakan juga akan diambil terhadap mereka jika terbukti tuduhan itu tidak berasas.

Kata Dr. Mahathir: ``Bila nak buat tuduhan mesti ada asas kerana ia akan memburukkan parti.''

Dalam pada itu, mengulas hasil mesyuarat jawatankuasa hari ini, Abdullah berkata, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali AlHabshee selaku wakil Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan telah dimaklumkan mengenai tarikh pemilihan bahagian Bukit Bintang.

``Ia akan diadakan secepat mungkin manakala keputusan pemilihan Pemuda dan Wanita Bukit Bintang, Isnin lalu kekal,'' katanya.

Menurutnya, mesyuarat turut membincangkan mengenai persiapan sambutan ulang tahun ke-55 UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Jumaat ini.

``Dr. Mahathir akan memberi ucapan kepada veteran UMNO pada sebelah petang dan diikuti sesi dialog bersama mereka,'' katanya.

Katanya, jawatankuasa juga memutuskan supaya anggotanya turun padang untuk menghadiri perjumpaan yang diatur oleh biro penerangan parti.

``Tujuannya supaya jawatankuasa biro yang baru ini diberi nasihat untuk memastikan penerangan di peringkat bahagian berjalan rancak dengan aktiviti meliputi pelbagai aspek berkaitan pentadbiran parti dan ekonomi,'' katanya.

Menurutnya, beliau mahu semua kegiatan penerangan dilaporkan kepada Ibu Pejabat parti.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum