Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 10 Mei 2001

UMNO diminta usah ambil tindakan terburu-buru

KUALA LUMPUR 9 Mei - UMNO diminta tidak terburu-buru mengambil tindakan terhadap ahlinya yang dikatakan membuat aduan palsu terhadap pihak yang terlibat dalam politik wang bagi mengelak orang ramai bimbang membuat laporan pada masa akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Rais Yatim berkata, biasanya orang yang membuat laporan akan mengetengahkan sesuatu bukti untuk disiasat berdasarkan kejadian yang berlaku.

Tambahan pula yang membuat aduan, katanya, tentu memahami bahawa bahan bukti itu berada dalam bentuk yang perlu dikaji selidik.

``Kita tidak boleh menyekat orang mahu membuat laporan tetapi sebaliknya Lembaga Disiplin UMNO mesti memastikan setiap kes yang disyaki disiasat.

``Jika diambil tindakan terhadap mereka yang membuat laporan, dikhuatiri tiada lagi akan membuat laporan. Ini mesti ditimbang secara halus oleh parti,'' katanya ketika dihubungi Utusan hari ini.

Beliau mengulas gesaan Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Zainal Abidin Zin semalam supaya UMNO mengambil tindakan tegas ke atas ahli yang membuat aduan palsu berkaitan politik wang bagi mengelak perbuatan itu berulang.

Kata Zainal, perbuatan membuat tuduhan palsu itu bertujuan menganiayai ahli lain yang sememangnya tidak melakukan perbuatan salah dari segi peraturan parti.

Rais yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu berkata, mengambil tindakan terhadap mereka yang dikatakan membuat aduan palsu memang boleh tetapi ia pasti melibatkan kerja siasatan yang berterusan.

``Yang membuat aduan palsu ini memang tidak bertanggungjawab tetapi kita perlu tentukan setakat mana tahap aduan palsu ini dan ia bukan kerja mudah.

``Mereka yang menjadi peguam dalam lembaga disiplin harus berhati-hati dengan mengetengahkan bukti-bukti yang tepat mengaitkan penglibatan pelapor palsu ini,'' katanya.

Mengenai tindakan pelucutan jawatan terhadap enam pemimpin bahagian yang didapati bersalah terlibat dalam politik wang baru-baru ini, Rais menyifatkan ia pencapaian cemerlang UMNO untuk memerangi gejala ini secara serius.

Imej UMNO katanya, lebih terserlah dan ramai baru percaya sekarang bahawa UMNO dalam proses pembersihan politik wang.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum