Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 11 Mei 2001

Muhyiddin syor syarat pencalonan Naib Presiden dikaji semula

IPOH 10 Mei - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata syarat minimum pencalonan untuk pemilihan jawatan Naib Presiden, Majlis Tertinggi dan di peringkat bahagian perlu dikaji semula kerana ia menjurus kepada penyalahgunaan kuasa dan politik wang.

Katanya, beliau bersetuju ia dikekalkan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sahaja kerana sejarah telah menunjukkan pertandingan di peringkat tertinggi itu boleh membawa perpecahan.

``Siapa sahaja yang hendak bertanding boleh bertanding, sebagai ahli mereka ada hak untuk bertanding,'' katanya selepas merasmikan Seminar Kesedaran Kepenggunaan 2001 di sini hari ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, sekatan daripada segi bilangan minimum pencalonan menjadi penghalang kepada mereka yang ingin bertanding.

``Bila ini berlaku, maka bermulalah perlakuan penyalahgunaan kuasa dan wang dengan berleluasa. Sebab itu sistem ini tidak wajar dikekalkan,'' katanya.

Di bawah perlembagaan parti, sekurang-kurangnya 30 peratus pencalonan dari bahagian yang sah diperlukan untuk bertanding jawatan Presiden, 20 peratus untuk Timbalan Presiden, 10 peratus Naib Presiden dan lima peratus untuk anggota MT.

Bagi peringkat bahagian pula yang dikuatkuasakan tahun ini, seseorang anggota yang ingin bertanding untuk jawatan ketua bahagian perlu mendapat 20 peratus pencalonan dari cawangan, timbalan ketua (15 peratus) dan naib ketua (10 peratus).

Katanya, amalan politik wang semasa pemilihan bahagian bulan lepas yang menyebabkan enam anggota digantung selama enam tahun oleh Lembaga Disiplin jelas menunjukkan sistem itu perlu dikaji semula.

Muhyiddin berkata sekatan seumpama itu tidak wujud dulu apabila mereka yang bertanding hanya perlu mendapatkan dua pencalonan sedangkan kini pelbagai teknik dan taktik digunakan untuk menidakkan hak seseorang untuk bertanding.

``Sekarang mesyuarat cawangan pun dipersoalkan dari segi teknikal dengan tujuan menghalang orang lain bertanding,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum