Rare CDs=Commission

POLITIK

Berita Minggu 08 april 2001

Pas dakwa wang ihsan haram

Oleh MUHAMAD ISHAK

JERTIH: Rakyat Terengganu sekali lagi dikelirukan dengan ucapan beberapa pemimpin tertinggi Pas negeri yang mendakwa pemberian wang ihsan daripada Kerajaan Pusat bagi menggantikan royalti sebagai haram.

Timbalan Ketua Perhubungan Umno Negeri, Datuk Idris Jusoh berkata, kenyataan baru yang disebarkan oleh pemimpin mereka termasuk ahli exco kerajaan negeri dalam ceramahnya, baru-baru ini bertujuan untuk mengelirukan rakyat.

“Ucapan itu dikeluarkan semata-mata untuk kepentingan politik selepas Amanat Haji Hadi kini sudah memakan diri kerana penyokong Pas sendiri turut mempersoalkannya,” katanya kepada Berita Minggu, semalam.

Bagaimanapun, Idris tidak menyatakan nama pemimpin Pas yang mengeluarkan kenyataan itu. Dipercayai, jika wang itu disalurkan menerusi kerajaan negeri seperti wang royalti sebelum ini, Pas menganggap pemberian itu halal, tetapi jika menerusi agensi tertentu termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ia dianggap haram.

Idris berkata, Pas terpaksa mengeluarkan kenyataan itu untuk mengelak rakyat terutama penyokong mereka beralih sokongan kerana pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Pas kini menghadapi pelbagai masalah.

Sebagai contoh, kata beliau, Kerajaan Pusat kini tidak lagi menyalurkan wang melalui kerajaan negeri, sebaliknya terus kepada rakyat melalui agensi tertentu termasuk JKKK.

“Apabila Pas menggunakan agama untuk mengharamkan pemberian berkenaan, sekurang-kurangnya penyokong mereka akan berasa ragu-ragu untuk menerima wang berkenaan kerana ia tidak menerusi kerajaan negeri.

“Akhirnya hasrat mereka (Pas) untuk terus mengelirukan penyokong mereka akan berhasil, sedangkan pada masa sama kerajaan negeri tidak menolak pembiayaan wang ihsan daripada Kerajaan Pusat,” katanya.

Sepatutnya kata Idris, pemimpin Pas mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat dengan pengagihan wang ihsan kerana semua rakyat negeri ini menikmati kemudahaan berkenaan sekali gus dapat meringankan beban hidup mereka.

Beliau berkata, pengagihan wang ihsan kepada rakyat negeri ini menerusi pelbagai program yang dirancang tetap diteruskan untuk kepentingan rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Katanya, ada penyokong Pas yang hadir pada majlis pemberian wang ihsan terharu apabila menerima pemberian berkenaan dan ini membuktikan mereka berterima kasih kepada Kerajaan Pusat.

“Bagaimanapun, pemimpin Pas masih menyatakan ahli parti itu diketepikan dan menuduh hanya penyokong Umno saja diberi keutamaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu (PPNT), Ismail Dollah Harun, berkata Kerajaan Pusat tidak pernah menerima penolakan balik pembiayaan wang ihsan yang diberikan kepada Kerajaan Pas Terengganu untuk diagihkan kepada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri itu.

Beliau berkata, jabatan itu yang diberi tanggungjawab mengendalikan pembiayaan wang ihsan sehingga ini tidak menerima sebarang laporan mengenai penolakan itu.

Katanya, jabatan itu akan mencatat jika berlaku penolakan kerajaan negeri atas alasan enggan menerima peruntukan yang diberikan Kerajaan Pusat menerusi pembiayaan wang ihsan.

“Sehingga ini tidak timbul soal penolakan balik seperti yang dihebohkan kerana semua peruntukan yang diberikan diterima oleh pihak terbabit,” katanya.

Ismail mengulas dakwaan pemimpin Pas yang memberitahu rakyat menerusi ceramah seluruh negeri menyatakan kerajaan negeri tidak mahu menerima wang itu kerana dianggap haram.

Menerusi ceramah anjuran Pas negeri, pemimpin parti mendakwa semua peruntukan menerusi pembiayaan wang ihsan sudah dipulangkan kerana tidak mahu menerimanya disebabkan wang itu haram.

Beliau berkata, melalui peruntukan pembangunan pendidikan Kerajaan Pusat memperuntukkan RM40 juta kepada kerajaan negeri untuk diagihkan kepada Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza), Tati dan sekolah menengah agama.

“Peruntukan itu tidak termasuk bantuan khas melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu rakyat miskin dan kurang upaya,” katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi