Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 11 Mei 2001

Keputusan berlandaskan `` Tataetika Ahli UMNO''

KUALA LUMPUR 10 Mei - Siasatan dan keputusan Lembaga Disiplin UMNO berhubung politik wang pada pemilihan bahagian parti baru-baru ini adalah berlandaskan kepada ``Tataetika Ahli UMNO'' yang dipersetujui oleh Majlis Tertinggi (MT) pada 22 Februari lalu.

Ahli Lembaga Disiplin, Datuk Nakhaie Ahmad menegaskan, tidak timbul soal bahawa pihaknya menghadapi masalah menilai dan memperincikan ruang lingkup kesalahan berkaitan gejala itu.

Malah, katanya, setiap aspek penyalahgunaan kuasa dan wang ringgit semuanya telah termaktub dalam tataetika tersebut.

``Hanya yang tidak memahami tataetika UMNO ada helah. Takkan nak mencuri di siang hari,'' katanya ketika dihubungi hari ini. Beliau ditanya mengenai skop gejala politik wang yang telah dan sedang disiasat oleh Lembaga Disiplin parti pada pemilihan bahagian selama sebulan dari 1 hingga 30 April lalu.

Ahad lalu, Ketua UMNO bahagian Baling, Datuk Zainol Md. Isa berkata, tuduhan beliau menggunakan persatuan belia untuk kepentingan politik tidak benar.

Menurutnya, mesyuarat Jawatankuasa 4B Baling yang diadakan di Sungai Petani pada 25 Februari bertujuan menganjurkan program bersama dengan kerajaan negeri dan ia telah dijayakan pada 1 April lalu.

Zainol yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri Kedah adalah juga Pengerusi 4B negeri, Presiden Majlis Belia negeri dan Pengerusi 4B kawasan Baling.

Turut menafikan tuduhan ialah calon Timbalan Ketua UMNO bahagian Bagan Serai, Zaki Din yang menjelaskan bahawa beliau membawa ahli-ahli UMNO bahagian itu mengikut rombongan ke Thailand bukan untuk kepentingan diri.

Selain Zainol dan Zaki, empat yang lain turut didapati bersalah terbabit dalam politik wang oleh Lembaga Disiplin Sabtu lalu ialah Ketua UMNO bahagian Gopeng, Mustafa Kamal Mohd. Nawi; Ketua bahagian Muar, Datuk Abdullah Omar; Ketua Penerangan bahagian Selayang, Rahmat Abdulah dan Ketua Penerangan bahagian Gopeng, Mohamad Annuar Baharuddin.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum