Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 12 Mei 2001

Tolak pemimpin rasuah -- PM: Ahli parti jangan kecewakan kepercayaan orang Melayu terhadap UMNO

KUALA LUMPUR 11 Mei - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mahu ahli-ahli UMNO menolak pemimpin parti yang mengamalkan rasuah supaya tidak mengecewakan kepercayaan orang Melayu terhadap kewibawaan UMNO dalam menjamin masa depan mereka.

Presiden UMNO menegaskan, langkah itu perlu kerana orang Melayu termasuk yang tidak terbabit dalam politik melihat UMNO sebagai tempat untuk menyelamatkan kedudukan mereka.

Sebaliknya, kata beliau, jika mereka yang percaya kepada semangat kemelayuan UMNO mendapati parti itu dianggotai pemimpin yang tamak, berebut jawatan dan rosak akhlak, maka sokongan kepada UMNO akan terhapus.

Sehubungan itu, tegas beliau, UMNO perlu lebih serius dan tidak lagi boleh memandang ringan terhadap ahli-ahli parti yang mengamalkan rasuah kerana perbuatan itu akan mengakibatkan bangsa Melayu tergadai satu hari nanti.

``Kalau kali ini kita tak serius, maka orang tak lagi percaya kepada UMNO.

``Kita kata nak hapuskan rasuah dan politik wang, dan dengan itu kita sudah lantik pihak yang bertanggungjawab tentang perkara ini (Lembaga Disiplin). Pendapat mereka mesti kita timbang secara serius dan saya nampak ahli UMNO menyokong tindakan ini,'' katanya.

Tegas Dr. Mahathir, parti mungkin sukar menghapuskan rasuah jika ahlinya mempertahankan mereka yang mengamalkan gejala itu.

Malah, katanya, beliau sendiri rela disingkir daripada jawatan Perdana Menteri sekiranya didapati terlibat dalam rasuah.

``Nama saya Dr. Mahathir, saya dilatih bila ada penyakit yang tidak boleh diubat, saya perlu bedah dan buang semua.

``Orang yang dapat diabetes, kalau waktu ini sayang nak buang tak mahu potong, ia akan melarat ke paha dan seluruh badan.

``Apakah kita nak potong sampai sekerat badan? Sebelum naik ke seluruh badan, kalau ada jari-jari halus (dijangkiti diabetes), potonglah!,'' katanya.

Dr. Mahathir berkata demikian ketika berucap pada majlis memperingati perjuangan UMNO dan pertemuan Presiden UMNO bersama veteran parti, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta tiga naib presiden itu disertai oleh 1,500 veteran parti dari seluruh negara.

Sabtu lalu Lembaga Disiplin UMNO mendapati enam orang termasuk tiga ketua bahagian bersalah, setelah mendapati mereka terlibat dalam politik wang pada pemilihan parti baru-baru ini.

Bagaimanapun, sembilan yang lain dilepaskan daripada sebarang hukuman setelah lembaga itu mendapati tiada bukti mengaitkan penglibatan mereka dalam politik wang.

Menurut Dr. Mahathir, beliau telah puas merayu, memujuk dan menangis supaya ahli UMNO menghindari rasuah dan sekarang mahu seluruh ahli parti menyokong tindakan tegas terhadap mereka yang didapati terlibat dalam rasuah.

Beliau menarik perhatian, ada pihak mempersoalkan ketegasannya apabila menyokong keputusan Lembaga Disiplin.

``Ada kata tak patut saya kata macam itu sebab bila Presiden kata itu, ia satu arahan dan Majlis Tertinggi (MT) akan patuh,'' katanya.

Sebaliknya, kata Dr. Mahathir, beliau tidak pernah menganggap dirinya perlu diutamakan oleh parti sebaliknya pendiriannya terhadap pemimpin yang rasuah adalah demi mempertahankan maruah perjuangan UMNO.

``Selepas kita meninggal dunia, UMNO mesti kekal. Kita tidak boleh mengutamakan sesiapa termasuk diri saya. Yang penting, UMNO adalah untuk bangsa, agama dan negara,'' katanya.

Menurutnya, jika UMNO tidak bebas daripada unsur rasuah, negara mungkin akan mengulangi sejarah ketika berada di bawah belenggu penjajah.

``Kita lihat semasa zaman penjajah, raja-raja berebut-rebut takhta. Kita lihat dalam UMNO berebut tempat nak menjadi ketua bahagian, timbalan ketua bahagian dan ahli MT.

``Apa sahaja cara digunakan dan kalau nak minta bantuan orang asing, kita akan buat termasuk guna duit walaupun UMNO hancur,'' katanya.

Justeru, tegas beliau, UMNO perlu merapatkan semula barisan dan mengenal pasti kelemahan yang wujud.

``Sebaliknya jika marah dan sanggup pula bantu (parti) lawan untuk kalahkan UMNO, ia petanda kita akan hancur dan bahawa apa yang berlaku 480 tahun lalu akan diulangi pada masa akan datang,'' katanya.

Mengulas cadangan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam supaya syarat minimum pencalonan untuk pemilihan jawatan Naib Presiden, MT dan peringkat bahagian dikaji semula kerana ia menjurus kepada penyalahgunaan kuasa dan politik wang, Dr. Mahathir berkata: ``Sebelum ini, kita buat syarat dapat sekian-sekian pencalonan boleh bertanding, kata itu tak bagus, balik pula pada asal dan sekarang ada pencalonan, baru boleh bertanding.

``Sebenarnya, kalau kita tamak, inilah masalah yang dihadapi tetapi jika kita bertanggungjawab nak jaga kepentingan parti, kita tidak akan buat sesuatu yang memberi keuntungan diri sehingga merosakkan parti,'' tegasnya.

Oleh: ZULKIFLI JALIL dan MOHD. ASUKI ABAS

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum