Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 12 Mei 2001

Zainol bertegas tidak akan letak jawatan Exco

ALOR SETAR 11 Mei - Datuk Zainol Md. Isa yang dibatalkan kemenangannya sebagai Ketua UMNO bahagian Baling oleh Lembaga Disiplin berkata, beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah.

Sambil menegaskan tidak akan tunduk dengan desakan pihak-pihak tertentu, beliau berkata:``Tidak ada sebab saya hendak letak jawatan.''

Lagipun, dakwanya, tuduhan yang dilemparkan ke atasnya tidak berasas sama sekali.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar itu berkata, hanya Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain, yang berhak menentukan kedudukannya sebagai Exco.

``Itu (soal letak jawatan) terpulang kepada Menteri Besar menentukannya. Saya akur dengan keputusannya,'' katanya ketika dihubungi hari ini.

Zainol diminta mengulas desakan beberapa pihak tertentu terutamanya pembangkang yang mahu beliau memikul kesalahan itu dengan meletakkan jawatan sebagai Exco.

Sebelum ini, Syed Razak sewaktu menjelaskan isu ini berkata, Zainol boleh terus memegang jawatan tersebut memandangkan tindakan ke atasnya hanya melibatkan kedudukan dalam parti.

Mengulas lanjut, Zainol turut menafikan imej UMNO akan tercalar sekiranya beliau berdegil dan enggan meletakkan jawatan.

Sebaliknya kata beliau, pendirian tegas itu diambil disebabkan beliau merasakan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya tidak berasas sama sekali.

``Saya tidak rasa apa-apa salah kerana saya dituduh menggunakan persatuan belia yang sebenarnya program itu diatur oleh kerajaan negeri dan bukannya politik wang,'' ujarnya.

Justeru Zainol sekali lagi merayu Majlis Tertinggi (MT) menimbangkan semula keputusan yang telah dibuat itu dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan persoalan lain.

``Parti perlu melihat tuduhan yang dilemparkan secara lebih terperinci, bukannya secara umum,'' katanya yang juga Presiden Majlis Belia negeri dan Pengerusi 4B kawasan Baling.

Ditanya tentang sikap parti pembangkang yang bersungguh-sungguh mahu melihat beliau meletakkan jawatannya, Zainol berkata, ia memang kerja mereka.

``Memanglah parti pembangkang akan mendesak begitu, jika tidak dengan isu ini mereka akan cari isu lain,'' jelasnya.

Pada 5 Mei lalu, Lembaga Disiplin UMNO membatalkan kemenangan enam orang termasuk tiga ketua UMNO bahagian kerana didapati bersalah terbabit dalam politik wang pada pemilihan parti baru-baru ini.

Selain Zainol, dua lagi ketua bahagian yang dibatalkan kemenangan ialah Mustafa Kamal Mohd. Nawi (Gopeng) dan Datuk Abdullah Omar (Muar).

Oleh: SITI MARIAM MD. ZAIN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum