Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 12 Mei 2001

Isu kuota: PM cabar pendirian Pas

KUALA LUMPUR 11 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini mencabar Pas menyatakan pendirian parti itu dalam isu kuota pelajar bumiputera di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, Pas mengambil sikap berdiam diri dalam isu kuota itu kerana tidak mahu kehilangan sokongan DAP walaupun mereka sebenarnya mahu kuota itu dikekalkan.

``Jadi (sikap berdiam diri Pas) ini menunjukkan dia lebih menjaga kepentingan parti dia daripada menjaga kepentingan orang Melayu,'' kata Dr. Mahathir selepas menghadiri Majlis Memperingati Perjuangan UMNO dan Pertemuan Presiden Bersama Veteran UMNO di sini hari ini.

Beliau mengulas isu kuota pelajar bumiputera di IPTA yang timbul baru-baru ini ekoran dakwaan terdapat kekosongan kuota untuk golongan itu sedangkan sebilangan pelajar bukan bumiputera cemerlang tidak mendapat tempat di IPTA.

Parti pembangkang yang diketuai oleh DAP menggesa sistem kuota itu dikaji semula manakala satu pihak lagi menggesa kerajaan meningkatkan kuota pelajar bumiputera sebanyak 55 peratus kepada 66 peratus bagi menyelaraskannya dengan komposisi kaum bumiputera di negara ini.

Menurut Dr. Mahathir, beliau sebelum ini telah menyatakan kerajaan akan mengikut kehendak rakyat sama ada hendak mengekalkan sistem kuota itu atau menghapuskannya terus.

``Sebab itu saya nak tahu sama ada dia (Pas) sokong atau tidak ada kuota, kalau dia (Pas) kata tak nak kuota, kita tengok berapa banyak orang Melayu yang tak nak kuota (dan) kita hapuskan kuota,'' katanya.

Mengenai gesaan agar kuota itu ditingkatkan berdasarkan komposisi penduduk, Perdana Menteri berkata, keputusan mengenainya tidak boleh dibuat berdasarkan sentimen atau emosi kerana ia akan merosakkan negara.

``Kita tidak pernah bekerja (untuk membahagikan sesuatu kuota) atas dasar itu (komposisi penduduk), kita kena tahu juga kemampuan kita.

``Nak kuota banyak, seratus peratus pun boleh tetapi kalau tidak ada orang yang layak atau tak ada orang yang mahu, apa gunanya,'' kata beliau.

Menurut Dr. Mahathir, sebahagian daripada pelajar bumiputera juga tidak mahu mengikuti kursus-kursus yang sukar sebaliknya lebih suka mengikuti kursus yang mudah sahaja.

``Kalau nak masuk itu (kursus yang mudah) sahaja, kita tidak akan ada orang yang terpelajar (manakala) rakyat Malaysia yang pandai pula akan pergi ke negara lain dan kita akan hadapi kerugian,'' tegas Perdana Menteri.

Sementara itu, Dr. Mahathir dalam ucapannya menyuarakan kebimbangan terhadap perebutan jawatan dalam UMNO yang boleh melemahkan parti dan pertelingkahan antara UMNO dan Pas yang memecah belahkan orang Melayu.

Katanya, kedua-dua pertikaian politik Melayu itu hampir sama dengan sejarah perebutan kuasa di kalangan kerabat raja dan pergeseran antara dua kumpulan berpengaruh Melayu yang mengakibatkan pemerintahan kerajaan Kesultanan Melayu tumbang dan negara dijajah selama lebih 450 tahun.

``Ini petanda semuanya akan hancur, yang berlaku selama lebih 450 tahun (penjajahan) akan diulangi.

``Raja-raja dahulu berebut takhta, ahli-ahli UMNO sekarang berebut jawatan peringkat cawangan, bahagian, Majlis Tertinggi, dengan apa cara pun,'' katanya merujuk kepada isu politik wang yang dikatakan berleluasa dalam parti itu sejak akhir-akhir ini.

Pas yang terus bertelingkah dengan UMNO pula, tambah beliau, sanggup berbuat apa sahaja untuk memenangi undi kaum Cina termasuk bekerjasama dengan DAP, sama seperti apa yang pernah dilakukan oleh sebilangan kumpulan Melayu yang meminta pertolongan penjajah bagi menghapuskan kumpulan Melayu lain.

Perdana Menteri berkata, Pas dahulu yang amat benci sehingga enggan bercakap atau bekerja dengan kaum Cina sekarang ini cuba menonjolkan peranan sebagai juara kaum itu.

``Dengan cara itu, bolehlah Pas mengalahkan orang Melayu lain, UMNO... tidak banyak perbezaannya dengan sejarah,'' kata beliau.

Menurut Dr. Mahathir, kesungguhan Pas untuk mendapatkan undi kaum Cina membuatkan parti itu takut bertemu dengan UMNO bagi membincangkan perpaduan Melayu.

``Mereka takut kalau diutamakan perpaduan Melayu, Cina tak sokong, jadi mereka kata kononnya mereka mahukan perpaduan nasional.

``Dulu mereka pandang jijik, sekarang bukan main jaguh kerana nak sokongan orang Cina dan India,'' katanya.

Oleh: MOHD. ASUKI ABAS

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum