Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 12 Mei 2001

MT akan tentukan kedudukan Zainol

KUALA LUMPUR 11 Mei - Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan menentukan sama ada Datuk Zainol Md. Isa yang didapati bersalah terlibat dalam politik wang boleh terus memegang jawatan Exco kerajaan negeri Kedah.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak dapat menentukan kedudukan Zainol sebelum keputusan dibuat oleh MT.

Mesyuarat MT dijadual pada 21 Mei ini.

``Kita belum putus, keputusan akan datang dari MT,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Memperingati Perjuangan UMNO dan Pertemuan Presiden UMNO Bersama Veteran parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Lembaga Disiplin UMNO melucutkan jawatan Zainol sebagai Ketua UMNO Bahagian Baling setelah mendapati beliau bersalah terlibat dalam politik wang pada pemilihan parti baru-baru ini.

Ekoran keputusan itu, Zainol yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan negeri Kedah digantung daripada memegang sebarang jawatan dalam parti selama enam tahun.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain Rabu lalu berkata, walaupun didapati menggunakan wang dalam pemilihan UMNO Bahagian Baling, Zainol masih boleh terbabit dalam proses membuat keputusan mesyuarat Exco.

Keputusan lembaga disiplin, kata Syed Razak, tidak dianggap menjejaskan imej kerajaan kerana ia dilakukan dalam UMNO dan tidak membabitkan kerajaan negeri.

Zainol didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Majlis Belia Negeri Kedah dan Pengerusi Belia 4B Kedah untuk kepentingan politik.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum