Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 12 Mei 2001

Ketua wanita tumpukan 4 perkara utama

KUALA LUMPUR 11 Mei - Ketua-Ketua Wanita UMNO bahagian dan cawangan diarah bekerja keras dengan memberi tumpuan kepada empat perkara utama bagi memantapkan pergerakan itu serta parti.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, empat tumpuan itu ialah mengadakan program yang turut membabitkan ahli Pergerakan Wanita Barisan Nasional (BN), melaksanakan gerakan menarik pendaftaran pengundi baru, menyemak daftar pemilih dan mengemaskini keahlian Wanita UMNO bahagian.

Berucap pada majlis perjumpaan dengan Ketua-ketua Wanita UMNO dan Naib Ketua Wanita UMNO bahagian di sini, Rafidah mahu supaya pergeseran dan perselisihan faham jika timbul semasa pemilihan peringkat bahagian bulan lepas dilupakan sebaliknya merapatkan semula barisan dan memupuk perasaan muhibbah.

``Wanita UMNO perlu menumpukan kepada kerja selaras dengan lima perkara utama yang digariskan dalam perlembagaan (UMNO) iaitu politik, agama, sosial, ekonomi, kebudayaan,'' katanya.

Rafidah berkata, sekiranya lima perkara itu dijadikan asas dalam program-program parti, maka ia mampu menarik lebih ramai menyertai UMNO.

``Seimbangkan antara program yang memberi fokus kepada ahli dan juga program yang boleh menarik mereka yang bukan ahli terutama pertubuhan wanita lain, '' katanya,

Rafidah juga mahu supaya mereka mengadakan semakan daftar pemilih dan mengkaji pola pengundian semasa pilihan sebelum ini.

Kata beliau, perkara itu penting untuk dijadikan asas kepada pembentukan strategi dan kempen menarik pengundi pada musim pilihan raya akan datang.

``Mereka perlu semak daftar pemilih bagi mengesan pemilih dari kalangan ahli UMNO,'' katanya.

Selaras dengan itu beliau akan membuat lawatan `turun padang' bermula Julai ini bagi memastikan semua tugas itu dapat dilaksanakan dan pada masa yang sama mengeratkan hubungan dengan ahli di peringkat akar umbi.

Katanya, pihaknya juga akan membekalkan dengan satu risalah garis panduan yang menyenaraikan semua tugas yang perlu dilaksanakan.

Mereka juga akan diberikan senarai nama daftar pemilih untuk memudahkan mereka membuat semakan.

Pergerakan Wanita juga akan melancarkan laman webnya sendiri bagi memudahkan ahli mendapat maklumat mengenai pergerakan itu.

KUntuk tujuan itu katanya, mana-mana bahagian yang belum memiliki komputer akan dibekalkan dengan komputer tidak lama lagi.

Rafidah berkata, Pergerakan Wanita juga akan menjalinkan hubungan lebih rapat dengan anggota pasukan keselamatan kerana golongan ini banyak berjasa kepada negara.

Oleh: LAUPA JUNUS

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum