Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 14 Mei 2001

Pas jangan campuri urusan UMNO

BANDAR BAHARU 13 Mei - Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain membidas parti pembangkang kerana mencampuri urusan dalaman UMNO apabila menggesa Badan Pencegah Rasuah (BPR) membuat siasatan terhadap Datuk Zainol Md. Isa.

Menurutnya, kes Zainol merupakan masalah dalaman parti kerana tindakan yang dikenakan terhadap Exco Kerajaan Negeri Kedah itu diputuskan oleh Lembaga Disiplin UMNO.

``Itu hak dia (membuat laporan BPR) tetapi kadang-kadang tidak perlulah mereka campur tangan banyak sangat dalam urusan UMNO,'' katanya kepada para pemberita ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke daerah ini di sini hari ini.

Beliau menegaskan, lagi pula kes Zainol masih dalam peringkat rayuan dan keputusan mengenainya juga belum diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Menteri Besar berkata demikian ketika mengulas tindakan Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah yang membuat laporan terhadap Zainol di pejabat BPR negeri di Alor Setar hari ini.

Zainol yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Negeri merupakan antara tiga ketua bahagian UMNO yang digantung kemenangan mereka pada mesyuarat perwakilan bahagian bulan lalu, kerana didapati terbabit dalam politik wang dan penyalahgunaan kuasa.

Syed Razak berkata, beliau sendiri akan membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan Zainol hanya selepas MT UMNO memutuskan kes tersebut.

Sehubungan itu beliau meminta parti pembangkang supaya tidak campur tangan atau membuat `sibuk' dalam kes tersebut.

Sementara itu di Alor Setar, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri, Mohd. Fauzi Hussin ketika ditemui selepas membuat laporan tersebut berkata, pihaknya membuat laporan kerana Zainol adalah penjawat awam iaitu anggota Exco Kerajaan Negeri.

``Kita minta BPR siasat punca kewangan beliau dan kemungkinan beliau terbabit dalam rasuah,'' ujarnya.

Menurutnya, oleh kerana Zainol adalah Exco Kerajaan Negeri maka sudah tentu ia turut melibatkan wang dan kepentingan rakyat.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum