Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 14 Mei 2001

Pemuda BN tubuh tiga jawatankuasa kerja

KUALA LUMPUR 13 Mei - Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan penubuhan tiga jawatankuasa kerja yang baru bertujuan memantapkan pergerakan barisan pemuda sebagai benteng hadapan BN.

Ketuanya, Datuk Hishammuddin Hussein berkata, tiga jawatankuasa kerja itu ialah Jawatankuasa Pendidikan, Jawatankuasa Isu-isu Sosial dan Jawatankuasa Governans.

Katanya, Jawatankuasa Pendidikan diterajui oleh Dr. Adham Baba sebagai pengerusi dan Datuk Ong Tee Kiat sebagai Timbalan pengerusi, Jawatankuasa Isu-isu Sosial diketuai oleh Datuk Dr. Nelson dan Jawatankuasa Governans diketuai oleh Teng Chang Yeow.

Hishammuddin mengumumkan perkara itu ketika berucap merasmikan mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan ke-16 Pergerakan Pemuda MIC di sini, hari ini.

Menurut beliau, penubuhan tiga jawatankuasa berkenaan merupakan persediaan awal pergerakan membantu BN menghadapi pilihan raya umum akan datang.

``Walaupun kita berada dalam keadaan yang mencabar, saya tetap yakin masa depan BN dan negara tetap cerah dengan syarat kita hendaklah sentiasa membawa perubahan dan pembaharuan kepada parti dan pergerakan kita,'' katanya.

Hishammuddin menambah, bagi memastikan perjuangan Pemuda BN relevan, pemikiran dan gaya berfikir perlu diubah supaya sesuai dengan tuntutan dan keadaan semasa.

Katanya, Pemuda BN perlu mendekati semua golongan masyarakat khususnya belia, pelajar dan mahasiswa menerusi aktiviti kemasyarakatan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum