Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 15 Mei 2001

Jangan dipinggir calon yang tewas - Pak Lah

KUALA TERENGGANU 14 Mei - Ketua-ketua bahagian UMNO yang menang dalam pertandingan pada persidangan perwakilan baru-baru ini diminta supaya tidak meminggirkan calon yang tewas demi memantapkan perpaduan dalam parti.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan, mereka perlu turut diberi tempat dan tindakan itu penting dalam merapatkan kembali sokongan kepada pimpinan yang baru dipilih itu.

``Pemimpin yang dipilih mestilah berusaha memberikan tempat kepada mereka dari bahagian yang layak termasuk daripada golongan yang tidak memberi sokongan kepadanya.

``Inilah satunya cara untuk memulihkan dan merapatkan barisan kepimpinan baru supaya kita nampak ada pemimpin yang mewakili semua golongan dalam bahagian,'' katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri di Ibu Pejabat UMNO di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, selain usaha pimpinan yang baru dipilih menerajui bahagian itu, calon-calon yang tewas perlulah memberi sokongan kepada barisan pimpinan tersebut.

``Barisan pimpinan baru ini mestilah mendapat sokongan daripada semua... yang bertanding tetapi tidak dipilih adalah menjadi kewajipan kepada mereka untuk beri sokongan kepada pemimpin yang dipilih,'' tegas beliau.

Mengenai UMNO Terengganu, Abdullah berkata, tiada rombakan pada pimpinan Badan Perhubungan UMNO Terengganu meskipun berlaku perubahan pimpinan peringkat bahagian.

Beliau menegaskan keyakinannya terhadap barisan pimpinan yang sedia ada termasuk Timbalannya, Datuk Idris Jusoh dalam usaha menggerakkan jentera parti.

``Bagaimanapun, mereka yang tidak menjadi Ketua Bahagian tidak boleh menjadi wakil perhubungan UMNO Terengganu kecuali jika dibenarkan oleh perlembagaan seperti wakil rakyat,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum