Make your own free website on Tripod.com

POLITIK

Berita Harian 09 april 2001

Wang ihsan: PM sudah jangka tohmahan Pas



LANGKAWI, Ahad – Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata, pemimpin Pas tidak mampu berbuat apa-apa selain melempar fitnah kepada kerajaan, termasuk mengenai wang ihsan untuk rakyat Terengganu yang didakwa mereka sebagai haram.

Perdana Menteri berkata, tohmahan itu sudah dijangka dan menjadi perkara biasa yang dilakukan pemimpin Pas apabila tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan.

“Ini (dakwaan pemimpin Pas bahawa wang ihsan adalah haram) datang daripada orang Islam yang kata kita kafir. Kita nak kata apa sangat. Saya pun dia kata kafir.

“Jadi, bagi Pas mudah saja. Apabila dia tak setuju, dia kata macam-macamlah kat orang, kafirlah, haramlah, sekularlah, ikut amalan Atartuklah. Macam-macam. Apa ada kepada Pas selain melempar fitnah kepada orang,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Idris Jusoh semalam bahawa rakyat Terengganu sekali lagi dikelirukan dengan ucapan beberapa pemimpin Pas negeri yang mendakwa pemberian wang ihsan daripada Kerajaan Pusat bagi menggantikan royalti, adalah haram.

Idris dilaporkan berkata, kenyataan yang disebarkan oleh pemimpin Pas termasuk Ahli Exco Kerajaan Negeri Terengganu dalam ceramahnya, baru-baru ini bertujuan untuk mengelirukan rakyat.

“Ucapan itu dikeluarkan semata-mata untuk kepentingan politik setelah Amanat Haji Hadi kini sudah memakan diri mereka kerana penyokong Pas sendiri turut mempersoalkannya,” kata Idris kepada Berita Harian, semalam.

Dipercayai, jika wang itu disalurkan menerusi kerajaan negeri seperti wang royalti sebelum ini, Pas menganggap pemberian itu halal, tetapi jika menerusi agensi tertentu termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), ia dianggap haram.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau projek membaik pulih kapal layar yang dimajukan oleh Penang Shipbuilding and Construction Sdn Bhd (PSC) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) di Tanjung Lembung, di sini hari ini.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Penasihat agama kepada Perdana Menteri, Datuk Paduka Dr Abdul Hamid Othman, berkata wang ihsan itu diperoleh melalui sumber yang sah serta menepati hukum syarak, bukan dirampas daripada mana-mana pihak.

Beliau berkata, adalah tidak tepat bagi pemimpin Pas untuk mendakwa wang yang diberikan oleh Kerajaan Pusat bagi menggantikan royalti kepada rakyat Terengganu itu sebagai haram.

“Wang itu adalah hasil minyak Petronas dan menjadi hak Kerajaan Pusat untuk mengagihkannya kepada negeri-negeri, bukan wang yang dirampas daripada sesiapa. Tafsiran Pas itu tidak betul, bukan kita rampas dari Terengganu.

“Kerajaan Pusat terus menyalurkan pemberian wang ihsan itu kepada Jabatan Persekutuan di negeri terbabit. Ia sumber halal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Perhubungan Umno Negeri, Datuk Idris Jusoh semalam bahawa rakyat Terengganu sekali lagi dikelirukan dengan ucapan beberapa pemimpin Pas negeri yang mendakwa pemberian wang ihsan daripada Kerajaan Pusat bagi menggantikan royalti, adalah haram.

Idris dilaporkan berkata, kenyataan yang disebarkan oleh pemimpin Pas termasuk ahli Exco kerajaan negeri Terengganu dalam ceramahnya, baru-baru ini bertujuan untuk mengelirukan rakyat.

“Ucapan itu dikeluarkan semata-mata untuk kepentingan politik setelah Amanat Haji Hadi kini sudah memakan diri mereka kerana penyokong Pas sendiri turut mempersoalkannya,” kata Idris kepada Berita Harian, semalam.

Dipercayai, jika wang itu disalurkan menerusi kerajaan negeri seperti wang royalti sebelum ini, Pas menganggap pemberian itu halal, tetapi jika menerusi agensi tertentu termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), ia dianggap haram.

Abdul Hamid berkata, kenyataan pemimpin Pas itu adalah semata-mata untuk mengelirukan rakyat. Soal halal dan haram tidak timbul dan pemberian wang ihsan itu adalah ikhlas daripada Kerajaan Pusat untuk membantu rakyat Terengganu.

Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu (PPNT), Ismail Dollah Harun, pula berkata Kerajaan Pusat tidak pernah menerima penolakan balik pembiayaan wang ihsan yang diberikan kepada Kerajaan Pas Terengganu untuk diagihkan kepada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri itu.

Beliau berkata, jabatan itu yang diberi tanggungjawab mengendalikan pembiayaan wang ihsan sehingga ini tidak menerima sebarang laporan mengenai penolakan itu.

Menerusi ceramah anjuran Pas negeri, pemimpin parti itu dikatakan mendakwa semua peruntukan menerusi pembiayaan wang ihsan sudah dipulangkan kerana tidak mahu menerimanya disebabkan wang itu haram.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi