Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 17 Mei 2001

Saya mungkin keluar dari parti - Abdullah

KUALA LUMPUR 16 Mei - Datuk Abdullah Omar yang dilucutkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Muar 5 Mei lalu berkata, beliau mungkin bertindak keluar parti jika kerja-kerja amal yang dilakukan secara ikhlas selama ini dianggap sebagai politik wang untuk meraih pengaruh serta undi.

Malah beliau turut berhasrat untuk bersara daripada arena politik jika rayuan berhubung tuduhan bahawa dirinya terbabit dalam gejala itu ditolak oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

``Ia bukan kerana kecil hati atau kerana mengaku bersalah tetapi saya sedia berkorban demi kepentingan UMNO.

``Tak menjadi ahli UMNO pun tak apa asalkan saya masih boleh membuat kerja-kerja kebajikan untuk penduduk kampung,'' katanya sambil menegaskan langkahnya itu bukanlah satu ugutan ke atas MT UMNO yang akan mendengar rayuannya Isnin ini.

Abdullah yang mendapat jolokan Mr. KFC di kalangan ahli-ahli politik itu merupakan Timbalan Pengerusi Eksekutif KFC Holdings (M) Bhd.

Beliau menegaskan, langkah seumpama itu terpaksa diambil kerana tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadapnya telah mencemarkan nama baik dirinya, keluarga serta imejnya sebagai tokoh korporat.

Menurut beliau, sumbangan 57 buah komputer oleh KFC Holdings kepada masyarakat kampung di Muar tidak wajar dikaitkan sebagai politik wang kerana ia bukan diberi kepada ahli UMNO.

``Komputer itu diberikan untuk 25 buah kelab komputer yang keahliannya terdiri daripada kanak-kanak berusia enam hingga 17 tahun.

``Mereka ini semuanya bukan ahli UMNO kerana tidak cukup umur. Tentulah tak munasabah sumbangan ini dikatakan untuk meraih undi,'' katanya kepada Utusan di sini hari ini.

Abdullah memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Muar pada 28 April lalu selepas menewaskan penyandang jawatan, Malik Munip.

Abdullah menambah, selain 25 kelab itu, KFC Holdings turut memberi lima komputer kepada MCA dan tiga buah kepada MIC untuk digunakan oleh masyarakat kaum tersebut di Muar.

Katanya, komputer itu tidak diletakkan di rumah ahli UMNO, sebaliknya di tempat awam seperti balai raya, surau dan masjid kerana ia untuk kegunaan masyarakat setempat.

Beliau berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada kerja amal dan strategi pemasaran KFC Holdings yang turut memberi pelbagai sumbangan lain kepada masyarakat pelbagai kaum di seluruh negara.

Katanya, syarikat itu juga menyumbang komputer kepada sekolah di negeri lain sebagai menyahut seruan kerajaan yang mahukan swasta membantu masyarakat luar bandar agar celik teknologi maklumat.

Kata Abdullah, syarikat itu percaya kanak-kanak dan remaja adalah bakal pelanggan yang berpotensi dan boleh memberi pulangan pada masa depan.

Beliau tidak menyangka kerja amal yang dilakukan sejak 12 tahun sebagai ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Muar dan ketua UMNO cawangan sejak tahun 1986, dianggap politik wang sebaik sahaja beliau menawarkan diri bertanding dalam parti. Menurutnya, kerja amal itu kebanyakannya sumbangan KFC Holdings sendiri dan beliau hanya mewakili syarikat tersebut dalam majlis penyerahan yang diadakan termasuk penyerahan komputer di Muar.

Jelas Abdullah, syarikat itu sering memberi sumbangan kepada badan kebajikan, sekolah, hospital dan masjid di seluruh negara sejak sekian lama dan tidak terhad di Muar sahaja seperti sangkaan sesetengah pihak.

Beliau berkata, dia bertanding pun selepas didesak dan dipujuk oleh ramai pemimpin bahagian yang mahukan perubahan. Katanya, beliau sebenarnya lebih senang memainkan peranan sebagai ahli jawatankuasa bahagian kerana boleh memberi sumbangan terus kepada golongan akar umbi tanpa dipertikaikan motifnya.

Abdullah berkata, beliau memikirkan semasak-masaknya niatnya untuk bersara dari politik sekiranya rayuannya itu ditolak oleh MT.

Abdullah turut bersetuju supaya politik wang dihapuskan sepenuhnya dalam UMNO demi kebaikan parti itu.

Oleh: AKMAR HISHAM MOKHLES

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum