Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 17 Mei 2001

Kemungkinan ada lagi ahli terlibat - Pak Lah

KUALA LUMPUR 16 Mei - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menolak kemungkinan ada lagi ahli UMNO yang terlibat dalam politik wang pada pemilihan bahagian bulan lalu selain enam pemimpin yang didapati bersalah, 5 Mei lalu.

Bagaimanapun Timbalan Presiden UMNO menegaskan, sehingga kini beliau tidak mengetahui sama ada mereka didapati bersalah atau sebaliknya kerana tidak mahu mengganggu siasatan Lembaga Disiplin.

Tambahan pula, katanya, Lembaga Disiplin belum memaklumkan kepada Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin mengenai hasil siasatannya.

``Boleh jadi ada lagi (ahli UMNO yang terlibat dalam politik wang) tetapi Lembaga Disiplin tak beritahu lagi kepada kita sekarang.

``Hari itu, saya ada bertemu dengan Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen dan beliau kata ada banyak lagi (kes),'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin parti di sini, hari ini.

Beliau ditanya sama ada banyak lagi ahli parti yang terlibat dalam politik wang daripada 338 aduan yang diterima oleh Lembaga Disiplin parti.

Pada 5 Mei lalu, Lembaga Disiplin melucutkan jawatan enam pemimpin bahagian setelah mendapati mereka bersalah terlibat dalam gejala itu.

Mereka ialah Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Mustafa Kamal Mohd. Nawi; Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Abdullah Omar; Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Zainol Md. Isa; calon Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Zaki Din; Ketua Penerangan Bahagian Selayang, Rahmat Abdullah dan Ketua Penerangan Bahagian Gopeng, Mohamad Anuar Baharuddin.

Mengulas perkembangan itu, Abdullah berkata, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO Isnin ini akan membuat keputusan muktamad sama ada menerima atau menolak rayuan enam pemimpin bahagian terbabit.

``Semua enam orang ini telah membuat rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh Lembaga Disiplin dan MT akan membuat keputusan,'' katanya.

Ditanya sama ada UMNO akan mengambil tindakan terhadap pemimpin bahagian yang menganjurkan rombongan tertentu termasuk ke luar negara ``sebagai hadiah kepada penyokong'' selepas memenangi pemilihan parti, Abdullah berkata:

``Apa pun, apa perkara yang bersabit dengan melanggar peraturan atau etika pemilihan, itu adalah tanggungjawab kita. Sebarang aduan akan diberi pertimbangan walaupun selepas pemilihan''.

Beliau turut mengingatkan bahawa Lembaga Disiplin adalah badan yang bebas dari sebarang kepentingan politik.

``Kita sengaja menjadikan Lembaga Disiplin bebas supaya tak ada campur tangan pihak berkepentingan yang sayang kepada pengikut tertentu.

``Dulu ada yang kata hantar aduan kepada Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin tak dengar apa cerita pun (perkembangan siasatan). Sebab itulah, kita tubuhkan badan ini yang dianggotai ahli veteran yang tidak ada hasrat lagi memegang sebarang jawatan parti,'' katanya.

Mengenai tindakan terhadap mereka yang membuat aduan palsu, beliau berkata, tindakan tegas akan diambil jika terbukti ia menyebabkan tertuduh malu dan mengalami kerugian termasuk penurunan pangkat.

Oleh: ZULKIFLI JALIL

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum