Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 18 Mei 2001

Abdullah Omar diharap tidak bertindak keluar parti

KUALA LUMPUR 17 Mei - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berharap Datuk Abdullah Omar tidak mengambil keputusan keluar parti jika mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO Isnin ini menolak rayuannya berhubung perlucutan jawatannya sebagai Ketua UMNO bahagian Muar.

Sebaliknya Timbalan Presiden UMNO berkata, Abdullah Omar masih boleh memberi khidmat kepada parti walaupun tidak lagi memegang jawatan sebagai ketua bahagian.

Beliau turut berharap tiada penyokong kepada pemimpin parti yang didapati bersalah terlibat dalam politik wang beralih menyertai parti pembangkang hanya kerana tidak berpuas hati terhadap keputusan Lembaga Disiplin UMNO itu.

``Saya harap tidak ada yang merajuk sampai begitu. Jika ada, ertinya mereka tidak mempunyai semangat UMNO,'' katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Bantuan Guaman Biro Tindakan Sivil UMNO Malaysia di sini petang ini.

Beliau turut memberi contoh sumbangan yang masih terus diberikan oleh veteran UMNO walaupun mereka tidak lagi menyandang sebarang jawatan parti.

``Mereka (veteran UMNO) masih bergerak aktif secara bersendirian dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), aktiviti surau dan persatuan peladang,'' katanya.

Timbalan Presiden UMNO itu mengulas laporan Utusan hari ini yang memetik kenyataan Abdullah bahawa beliau mungkin bertindak keluar parti jika kerja-kerja amal yang dilakukan secara ikhlas selama ini dianggap sebagai politik wang untuk meraih pengaruh serta undi.

Malah, beliau turut berhasrat untuk bersara daripada arena politik jika rayuan berhubung tuduhan bahawa dirinya terbabit dalam gejala itu ditolak oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Menurutnya, langkah itu mungkin terpaksa diambil kerana tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadapnya telah mencemarkan nama baik diri, keluarga serta imejnya sebagai tokoh korporat.

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri yang ditemui pemberita di bangunan Parlimen berkata, Lembaga Disiplin UMNO tidak ada sebarang niat untuk mendatangkan kerugian kepada Abdullah sebagai tokoh korporat setelah dilucutkan daripada jawatan itu 5 Mei lalu.

Katanya, tindakan Lembaga Disiplin itu hanyalah berasaskan kepada siasatannya ekoran daripada laporan yang menuduh beliau menggunakan politik wang dalam pemilihan.

Beliau menasihatkan Abdullah yang merupakan Timbalan Pengerusi Eksekutif KFC Holdings (M) Bhd. supaya tidak mengambil keputusan keluar daripada parti.

Ditanya kesan kenyataan-kenyataan seumpamanya daripada mereka yang terlibat terhadap peranan Lembaga Disiplin, Abdullah berkata, tindakan mereka itu adalah satu usaha membuktikan bahawa mereka tidak melakukan kesalahan.

``Bukan mereka buat maklum balas negatif. Nampaknya mereka hendak mempertahankan diri dan cuba membuktikan mereka tidak bersalah sebab itu ada rayuan-rayuan yang telah dikemukakan.

``Semua yang dituduh itu membuat rayuan,'' kata beliau yang mengesahkan rayuan tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat MT UMNO pada Isnin ini.

Abdullah Omar memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Muar pada 28 April lalu selepas menewaskan penyandang jawatan, Malik Munip.

Beliau didakwa menggunakan politik wang untuk meraih undi dengan menyumbangkan 57 komputer menerusi KFC Holdings kepada masyarakat kampung di Muar.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum