Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 18 Mei 2001

Penyertaan 100 peguam bukti profesional sokong UMNO


ABDULLAH Ahmad Badawi bersalam dengan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zaitoon Othman sambil diperhatikan oleh sekumpulan peguam yang menganggotai Pusat Bantuan Guaman Biro Tindakan Sivil UMNO, selepas diperkenalkan oleh Azalina Othman Said (tengah) di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 17 Mei - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, penyertaan hampir 100 peguam dalam Pusat Bantuan Guaman, Biro Tindakan Sivil (BTS) UMNO yang dilancarkan hari ini, menunjukkan bahawa sokongan masyarakat dan golongan profesional kepada parti itu tetap utuh.

Menurut Timbalan Presiden UMNO, sambutan positif itu jelas menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya UMNO terlalu sibuk berpolitik sehingga tidak mempunyai sebarang program untuk masyarakat.

Masyarakat, tegasnya, tetap percaya UMNO boleh berbuat sesuatu untuk mereka dan keyakinan itu diperkuatkan lagi dengan penubuhan pusat bantuan guaman tersebut.

``Ini satu lagi bukti UMNO boleh berkhidmat dan masih mendapat sokongan daripada masyarakat.

``Projek BTS ini meyakinkan masyarakat terutama yang mahu mendapatkan bantuan guaman bahawa UMNO boleh berbuat sesuatu untuk mereka,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusat itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Pusat Bantuan Guaman yang merupakan entiti BTS bermatlamat membantu masyarakat yang berhak untuk mendapatkan hak mereka melalui saluran undang-undang tanpa mengira latar belakang politik, agama dan bangsa.

Mengikut prosedur, pengadu boleh membuat aduan secara bersemuka, melalui telefon atau datang sendiri ke Pusat Guaman itu di Sungai Way, Petaling Jaya untuk membincangkan masalah yang dihadapi.

Turut hadir pada pelancaran itu ialah Pengerusi BTS, Azalina Othman Said yang juga Pengerusi Penaja Puteri UMNO.

Menurut Abdullah, sebelum ini ada pihak meragui keupayaan BTS menganjurkan sesuatu program untuk masyarakat dengan alasan UMNO tidak lagi mendapat sokongan rakyat.

Bagaimanapun, dakwaan itu terbukti silap apabila program menderma darah anjuran BTS di Perak berjaya mendapat sambutan luar dugaan.

``BTS minta bantuan katil daripada hospital di Ipoh tetapi diberitahu katil tidak begitu banyak (boleh disediakan) kerana (kononnya) diberitahu tak ada orang mahu datang program anjuran UMNO.

``Bagaimanapun kerana ia dibuat dengan bersungguh-sungguh, program derma darah ini berjaya mencatat rekod dalam buku Guinness Book of Records dengan penyertaan seramai 2,500 orang sehari,'' katanya.

Tegas Abdullah: ``Ini membuktikan jika kita (UMNO) masih prihatin untuk berkhidmat kepada masyarakat, bila-bila masa pun rakyat akan bersama kita.''

Terdahulu dalam ucapannya, Abdullah menyeru badan-badan bukan kerajaan (NGO) termasuk BTS UMNO memperkenalkan perkhidmatan perubatan awalan kepada masyarakat di luar bandar.

``Rawatan awalan ini bermakna kita memberi nasihat dahulu misalnya kepada penduduk (yang menghidap penyakit) bahawa mereka perlu mendapatkan rawatan di hospital.

``Dan jika mereka memerlukan rawatan segera, kita boleh membantu dengan mengusahakan bayaran berpatutan,'' katanya.

Beliau menarik perhatian bahawa seorang `doktor UMNO' di Alor Setar, Kedah satu ketika dahulu pernah memberi rawatan percuma kepada pesakit-pesakitnya.

``Doktor yang saya maksudkan ialah (Datuk Seri) Dr. Mahathir (Mohamad) yang memulakan perkhidmatan itu di klinik persendiriannya.

``Komitmen ini meyakinkan saya bahawa ada doktor yang benar-benar mahu memberi bantuan kepada pihak yang memerlukan,'' katanya.

Oleh: ZULKIFLI JALIL

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum