Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 18 Mei 2001

Warga desa terima kepimpinan UMNO

SIK 17 Mei - Penduduk luar bandar ternyata masih tidak menolak kepimpinan UMNO dan peranan yang dimainkan oleh parti itu dalam usaha membangunkan negara dan rakyat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia terbukti semasa program Pemuda Masuk Kampung yang mendapati penduduk kampung masih menerima baik kehadiran parti itu.

Menurutnya, walaupun mereka pernah menjauhi UMNO sebelum ini, ia tidak bermakna penolakan 100 peratus atau tidak mahu menerima langsung sehingga beralih kepada parti pembangkang.

``Sememangnya mereka ada alasan atau masalah tersendiri. Itu yang saya dengar apabila bergaul dan berbual dengan mereka. Sebab itu kita buat program ini untuk mendengar masalah sebenar mereka,'' katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan dialog dengan penduduk Kampung Selamat dekat sini hari ini.

Beliau berada di sini dengan anggota Exco Pemuda dan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi menyertai projek anak angkat di bawah program Pemuda Masuk Kampung. Semasa di Kampung Selamat, Hishammuddin tinggal dengan seorang peraih getah beku, Taib Jusuh, 62, selama tiga hari bersempena program berkenaan.

Program tiga hari bermula semalam itu bertujuan mendekatkan kepimpinan Pemuda, profesional muda dan pelajar IPTA dengan penduduk kampung dan mendengar masalah dan kekurangan mereka.

Menurut Hishammuddin, berdasarkan kejayaan di Kampung Selamat, Pemuda UMNO akan meneruskan program Pemuda Masuk Kampung pada masa akan datang dan menjadi sebahagian daripada perjuangannya.

Beliau berkata, selepas ini pihaknya merancang untuk masuk setinggan di kawasan bandar dalam usaha mendekatkan diri dengan golongan masyarakat bawahan.

``Kita merancang untuk ke setinggan selepas ini dan perkara ini akan dibincangkan terlebih dulu dalam mesyuarat Exco Pemuda,'' jelasnya.

Hishammuddin berkata, Pemuda Masuk Kampung bukan bertujuan menyelesaikan semua masalah penduduk kampung tetapi untuk memberitahu bahawa setiap masalah ada cara atau jalan penyelesaian.

``Pemuda tidak berupaya menyelesaikan masalah penduduk kampung tetapi ingin membawa mesej bahawa setiap masalah ada cara untuk menyelesaikannya.

``Yang penting ialah kita turun ke padang dan bertemu dengan penduduk kampung. Kita akan salurkan masalah yang diutarakan kepada pihak yang berkenaan untuk dipertimbangkan,'' jelasnya.

Oleh: LUQMAN HAKIM

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum