Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 20 Mei 2001

Jangan ugut parti - PM -- MT tidak tunduk kepada ahli yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin

JOHOR BAHRU 19 Mei - UMNO tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan keluar parti oleh mana-mana ahlinya yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin kerana kes politik wang, tegas Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut Presiden UMNO itu, jika Majlis Tertinggi (MT) tunduk kepada ugutan sedemikian semasa meneliti rayuan mereka, ia akan dilihat sebagai tidak serius dalam tindakannya.

``Ugutan seperti itu tidak akan dilayan, jika tidak ia seolah-olah menunjukkan pihak tertinggi parti tidak serius dalam menangani gejala politik wang,'' tegasnya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung MIC di Hotel Eden Garden di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Datuk Abdullah Omar yang dilucutkan jawatan sebagai Ketua UMNO bahagian Muar, 5 Mei lalu yang menyatakan beliau mungkin bertindak keluar parti jika rayuan berhubung tuduhan bahawa dirinya terbabit dalam gejala itu ditolak oleh MT.

MT akan membuat keputusan rayuan itu dalam mesyuaratnya Isnin ini.

Abdullah memenangi jawatan itu selepas menewaskan penyandang, Malik Munip dalam mesyuarat perwakilan bahagian tersebut 28 April lalu.

Menurut Perdana Menteri, tindakan ahli-ahli UMNO yang kecewa dengan parti itu dan mahu keluar parti serta kemudiannya menubuhkan atau menyertai parti lain juga adalah satu perkara biasa.

``Saya fikir mereka merajuk sekejap saja. Dia keluar buat parti lain tetapi kemudian balik masuk UMNO. Orang Keadilan pun sekarang ini dah ramai masuk balik UMNO,'' katanya.

Mengenai hasrat Abdullah itu, Dr. Mahathir berkata: ``Itu kita kaji dulu, tengoklah sama ada nak keluar atau tidak.

``Kita percaya ahli-ahli UMNO ini kadang-kadang mudah tersinggung sikit, kerana berasa kecewa mungkin dia membuat kenyataan terlalu cepat. Mungkin dia akan fikir semula.''

Abdullah yang merupakan Timbalan Pengerusi Eksekutif KFC Holdings (M) Berhad, baru-baru ini menjelaskan kepada Utusan bahawa beliau juga berhasrat untuk bersara daripada arena politik jika rayuan itu ditolak kerana mendakwa ia merupakan tuduhan tidak berasas.

Beliau yang terkenal dengan julukan Mr. KFC berkata, tuduhan tersebut telah mencemar nama baik dirinya, keluarga serta imejnya sebagai tokoh korporat.

Perdana Menteri turut ditanya mengenai dakwaan Abdullah bahawa beliau bahawa beliau memberikan sumbangan 57 buah komputer daripada KFC Holdings kepada penduduk kampung di Muar sebagai sumbangan baktinya kepada masyarakat.

Dr. Mahathir menjelaskan, sepatutnya segala jenis sumbangan atau wang disalurkan kepada ibu pejabat UMNO atau badan perhubungan terlebih dahulu sebelum diagih-agihkan.

``Kalau hendak bagi wang pada UMNO, bagi pada ibu pejabat atau perhubungan supaya boleh agih kepada semua tempat. Dengan itu ia tidak menimbulkan tuduhan bahawa kita derma itu untuk mendapat sokongan.

``Jadi kalau kita betul-betul sayang pada UMNO, derma pada UMNO, iaitu di ibu pejabat atau pejabat perhubungan dan kedua-dua pejabat ini akan agihkan kepada semua anggota UMNO. Bukan bahagian sendiri sahaja kerana kalau bahagian sendiri sahaja mungkin ini dianggap sebagai satu usaha untuk mendapat sokongan daripada bahagian,'' katanya.

Apabila ditanya sama ada UMNO akan memperketatkan lagi kod etika berhubung politik wang itu, pemimpin tertinggi itu menjelaskan ia tidak perlu.

``Kita dah ada kod etika. Kod sahaja tidak guna. Kalau tidak ambil tindakan, tak bermaknalah,'' katanya.

Secara berseloroh, Perdana Menteri berkata, media juga perlu menyokong tindakan UMNO membersihkan parti daripada politik wang.

``Jadi saya harap press pun akan sokonglah tindakan ini. Press very important people... press bermakna tekan... ini tekanlah ni,'' katanya sambil ketawa bersama-sama dengan Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu dan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman yang turut hadir pada sidang media itu.

Mengenai lawatan dua harinya ke Johor, Dr. Mahathir berkata beliau berjumpa dengan semua pemimpin akar umbi di empat bahagian UMNO iaitu Segamat, Bakri, Pontian dan Gelang Patah, yang memberinya peluang menjelaskan masalah yang dihadapi oleh UMNO dan tindakan yang perlu diambil bagi mengatasinya.

``Di masa yang sama saya juga berpeluang mendengar pandangan daripada bahagian-bahagian tentang masalah mereka dan persepsi mereka tentang masalah UMNO dan ini semua menjadi pengajaran kepada saya,'' kata beliau.

Dr. Mahathir menganggap lawatan itu sangat berguna dalam merapatkan hubungan pusat dengan akar umbi.

Oleh: FAUZIAH AROFF

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum