Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 20 Mei 2001

Ketegasan kepimpinan MIC berjaya kukuhkan parti

JOHOR BAHRU 19 Mei - Ketegasan kepimpinan MIC berjaya mengukuh serta menjadikan parti itu sebagai `payung besar' bagi melindungi hak dan kepentingan masyarakat India di negara ini, kata Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, walaupun MIC bukan satu-satunya parti yang dianggotai oleh rakyat berketurunan India di negara ini, namun ia telah memperjuangkan nasib seluruh masyarakat India tanpa mengira kedudukan atau kepentingan politik mereka.

``MIC masih popular dan mendapat sokongan majoriti rakyat berketurunan India di Malaysia. MIC juga masih lagi merupakan payung besar yang melindungi hak dan kepentingan mereka di negara kita dan pada masa yang sama juga menjaga kepentingan kaum lain melalui Barisan Nasional (BN),'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-55, di Hotel Eden Garden, di sini, hari ini.

Pengerusi BN itu menambah, MIC sentiasa gigih, tekun dan bertungkus lumus dalam usaha dan perjuangannya untuk memperbaiki keadaan hidup sosioekonomi masyarakat India yang masih belum mencapai tahap kemajuan yang memuaskan.

``Seperti dengan kaum-kaum lain iaitu Melayu dan Cina, masih terdapat di kalangan masyarakat India kelompok-kelompok yang masih tinggal di ladang-ladang, desa malah di pusat-pusat bandar terutama di kawasan setinggan,'' katanya.

Kata Perdana Menteri, dengan pendapatan rendah dan tidak tetap kehidupan sebilangan mereka masih tidak sempurna dan ia telah menjadi sebahagian punca timbulnya pelbagai masalah sosial dalam masyarakat hari ini.

``Namun begitu, nasib mereka tidaklah diabaikan tanpa pembelaan. Parti MIC sering meninjau keadaan kehidupan mereka dan memberi bantuan bagi memperbaiki kedudukan mereka.

``Pelbagai bantuan termasuk kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya, sekolah, pusat perubatan dan kesihatan disediakan untuk kelompok terpinggir ini oleh kerajaan melalui usaha MIC,'' ujar beliau lagi.

MIC kata Dr. Mahathir, terutama melalui Presidennya Datuk Seri S. Samy Vellu sentiasa berusaha untuk meningkatkan pendapatan golongan yang berpendapatan rendah terutama yang bekerja di estet-estet dan kilang-kilang perusahaan.

Sungguhpun begitu, tambah beliau, walaupun MIC berperanan aktif dalam usahanya meningkatkan kedudukan masyarakat India, kerajaan tidak lepas tangan dalam tanggungjawabnya untuk membantu memperbaiki nasib kaum India seperti juga kaum-kaum lain.

``Kaum India sungguh bertuah kerana walaupun mereka merupakan golongan minoriti, mereka menikmati pelbagai peluang untuk memajukan masyarakat mereka.

``Peluang ini termasuklah yang disediakan kerajaan seperti perniagaan dan perdagangan, pendidikan, perumahan dan kemudahan-kemudahan asas,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum