Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 20 Mei 2001

Kaum India perlu sedar realiti politik masa kini

JOHOR BAHRU 19 Mei - Kaum India di negara ini harus sedar mengenai realiti politik masa kini, selain tugas dan tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara sebelum mereka menyuarakan sebarang rasa tidak puas hati.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, dalam menyuarakan perasaan dan keperluan mereka kepada kerajaan, MIC harus mengambil kira keperluan dan tindakan yang berterusan.

``Politik masa depan adalah lebih mencabar dan terdedah kepada tuntutan yang berlebihan daripada rakyat.

``Oleh itu MIC perlu memainkan peranan baru untuk memulakan proses perubahan dalam masyarakat India,'' katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung MIC ke-55 di sini, hari ini.

Beliau berkata, kaum India terpaksa mewujudkan sari pati dan kuasa mencari hala tuju dengan membentuk wawasan dan misi untuk 10 tahun yang akan datang.

``Kita terpaksa menangani masa depan dan mengikuti satu budaya di kalangan pemimpin-pemimpin, tentang apa yang menarik dalam tujuan utama kita ini.

``Perjalanan ini akan membentuk hubungan yang lebih rapat antara parti dengan masyarakat untuk mencapai misi kita,'' katanya.

Beliau juga memberitahu, masyarakat India di negara ini sentiasa menyokong kepimpinan Barisan Nasional (BN) kerana mereka menghargai dan menyedari bahawa kerajaan sentiasa ikhlas, bersimpati dan sentiasa mengambil berat terhadap perjuangan mereka.

Bagaimanapun, katanya, MIC memohon kepada kerajaan agar mengkaji semula keadaan sosioekonomi masyarakat India pada keseluruhannya dan melaksanakan program-program yang berkesan bagi mempertingkatkannya dalam konteks pembangunan negara.

``Satu cabaran hebat bagi MIC ialah meningkatkan tahap kemampuan di kalangan masyarakat India melalui program-program berdikari dan kepercayaan diri.

Beliau berkata, MIC memberikan keutamaan yang tinggi kepada pendidikan sebagai alat untuk kemajuan sosial dan ekonomi masyarakat.

Bagaimanapun, katanya, kesukaran masyarakat India untuk mendapatkan peluang mengikuti kursus-kursus profesional yang lebih mencabar di Institusi Pengajian Tinggi Awam baru-baru ini, mengecewakan ibu bapa golongan itu.

``Sehubungan itu, MIC menyeru kerajaan supaya mengkaji semula proses pengambilan pelajar yang sedia ada bagi memastikan lebih banyak tempat disediakan untuk menampung pelajar-pelajar yang layak,'' katanya.

Dalam pada itu, Samy berkata, MIC amat berterima kasih dengan peruntukan khas RM13.9 juta yang diberikan oleh kerajaan untuk membina 16 sekolah Tamil yang akan dibina semula dalam jangka masa dua tahun akan datang.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum