Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 22 Mei 2001

6 pemimpin UMNO bersalah -- Majlis Tertinggi perakui keputusan dan hukuman Lembaga Disiplin




KUALA LUMPUR 21 Mei - Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bermesyuarat hari ini memperaku semua keputusan Lembaga Disiplin parti termasuk bentuk hukuman ke atas enam pemimpin UMNO yang didapati bersalah terlibat dalam politik wang pada pemilihan baru-baru ini.

Ini bermakna hukuman yang diputuskan oleh Lembaga Disiplin iaitu perlucutan jawatan dan hilang hak untuk memilih, dipilih dan dilantik bertanding sebarang jawatan di semua peringkat dalam tempoh enam tahun ke atas mereka, adalah kekal.

Jawatan mereka yang didapati bersalah pula akan disandang oleh calon yang kalah atau mendapat undi terbanyak jika terdapat lebih daripada seorang calon.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semasa mengumumkan keputusan itu turut menegaskan bahawa pemimpin yang memegang jawatan kerajaan dan didapati bersalah perlu mengambil langkah yang mencerminkan keputusan parti.

``Berkenaan jawatan dalam kerajaan kita berpendapat keputusan UMNO mesti diikuti bukan dari segi pelaksanaan tetapi juga dari segi semangatnya,'' katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat MT di sini hari ini.

Lembaga Disiplin UMNO pada 5 Mei lalu memutuskan tiga ketua bahagian dibatalkan kemenangan mereka iaitu Mustafa Kamal Mohd. Nawi (Gopeng), Datuk Abdullah Omar (Muar) dan Datuk Zainol Md. Isa (Baling).

Tiga lagi yang turut didapati bersalah ialah calon Timbalan Ketua Bahagian Bagan Serai, Zaki Din, Ketua Penerangan Bahagian Selayang, Rahmat Abdullah dan Ketua Penerangan Bahagian Gopeng, Mohamad Anuar Baharuddin.

Abdullah, Zainol, Mustafa kamal, Rahmat dan Mohamad Anuar digantung hak untuk memilih, dipilih dan dilantik ke sebarang jawatan di semua peringkat sehingga 2007 manakala Zaki pula digantung hak itu selama dua kali pemilihan parti peringkat cawangan, bahagian dan MT.

Kesemua mereka yang membuat rayuan kepada MT menafikan terlibat dalam politik wang dan memohon rayuan mereka dipertimbangkan.

Keputusan MT itu juga bermakna pencabar bagi ketiga-tiga jawatan ketua bahagian iaitu Malik Munip (Muar), Datuk Raja Ariffin Raja Sulaiman (Baling) dan Datuk Aziz Samsudin (Gopeng) akan mengisi jawatan berkenaan.

Dr. Mahathir pada sidang akhbar itu turut menjelaskan bahawa MT telah membincangkan panjang lebar laporan dan penerangan Pengerusi Lembaga Disiplin, Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mengenai perkara berkenaan.

``Tidak ada perbezaan (pendapat) dengan apa yang dicadangkan oleh Lembaga Disiplin, kita sokong penuh keputusan itu,'' katanya.

Menurut beliau, MT juga berpuas hati dengan proses yang digunakan oleh Lembaga Disiplin untuk menentukan siapa yang salah atau sebaliknya.

Presiden UMNO itu menegaskan bahawa MT secara praktiknya tidak dapat menjadi sebuah badan untuk mendengar rayuan mereka yang didapati bersalah oleh lembaga disiplin.

Ini kerana, kata beliau, ia melibatkan proses yang rumit ditambah pula kes salah laku yang banyak.

Sehubungan itu, jelasnya, ahli-ahli yang didapati bersalah boleh mengemukakan rayuan terus kepada Lembaga Disiplin.

Dr. Mahathir menjelaskan pengganti bagi pemegang jawatan yang didapati bersalah juga tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan jika mereka kemudiannya turut didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin.

``Proses ini akan berterusan tetapi tidak akan ada satu lagi mesyuarat (pemilihan lain),'' katanya.

Beliau berkata, selain enam kes berkenaan, terdapat banyak lagi kes politik wang yang melibatkan ketua bahagian dan timbalan yang sedang disiasat.

Ditanya keputusan sama ada keputusan MT itu bermakna Zainol yang kini ahli Exco kerajaan negeri Kedah perlu meletakkan jawatan, Dr. Mahathir meminta wartawan membuat analisis sendiri mengenainya.

Beberapa pihak termasuk pemimpin Pergerakan Pemuda UMNO sebelum ini meminta Zainol melepaskan jawatannya dalam kerajaan sebagai menjaga imej parti.

Bagaimanapun Zainol memutuskan untuk menunggu keputusan MT yang akan menimbangkan rayuannya itu hari ini.

Selain Zainol, Abdullah yang juga Timbalan Pengerusi Eksekutif KFC Holdings Berhad turut menjadi tumpuan berikutan hasratnya untuk bersara daripada arena politik jika rayuannya itu ditolak kerana mendakwa ia merupakan tuduhan tidak berasas.

Beliau yang terkenal dengan jolokan Mr. KFC berkata, tuduhan tersebut telah mencemar nama baik diri, keluarga dan imejnya sebagai tokoh korporat.

Bagaimanapun Dr. Mahathir dan para pemimpin yang lain menegaskan bahawa MT tidak akan tunduk kepada ugutan oleh ahli-ahli parti yang didapati bersalah.

Oleh: ZULKIFLI HAMZAH

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum