Make your own free website on Tripod.com

POLITIK

Berita Harian 10 april 2001

Pembangkang diminta fahami strategi bantu pekebun


PEMBANGKANG diminta memahami terlebih dahulu strategi kerajaan membantu pekebun kecil dalam penghasilan serta pemasaran getah dan kelapa sawit sebelum membuat tuduhan tak berasas tanpa fakta kukuh.

Sehubungan itu, Menteri Perusahaan Utama, Datuk Seri Lim Keng Yaik, ketika menggulung perbahasan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) bagi kementeriannya, menegur Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) yang mempertikaikan kemerosotan harga getah menggunakan statistik yang tidak tepat.

“Saya akui memang ada jurang besar antara harga eksport dengan harga pasaran di ladang kerana harga eksport merangkumi semua kos manakala harga ladang pula tidak termasuk kos atau ses dan didasarkan kepada kandungan getah kering (DRC) saja, “katanya.

Pelbagai usaha dilaksanakan seperti bantuan sistem torehan kekerapan rendah (LITS) dengan pemberian geran dan pinjaman pada nisbah tujuh kepada tiga yang dulunya diberi kepada pekebun yang memiliki 2.5 hektar, kini ditambah kepada empat hektar.

Mulai Mac lalu, premium 10 sen bagi setiap kilogram (kg) susu getah yang dijual pekebun kecil kepada Mardec, Risda, Felcra dan pihak lain yang diberi kuasa kini ditambah kepada 30 sen setiap kg getah kering.

Kerajaan juga mengadakan kerjasama tiga hala dengan Thailand dan Indonesia bagi menangani kejatuhan harga dan mengawal masalah lambakan getah di pasaran antarabangsa.

Bagaimanapun, beliau menolak cadangan Mahfuz mewujudkan harga lantai kerana ia menyalahi peraturan Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO) .

Husam Musa (Pas-Kubang Kerian) pula mempersoalkan mengenai lambakan minyak sawit dalam pasaran sehingga wujud lebihan stok 1.8 juta tan pada akhir 1999, menyebabkan harganya jatuh daripada RM1,149 setan metrik (1999) kepada RM996 tahun lalu.

Kata Keng Yaik, peningkatan stok itu berpunca keghairahan pekebun menanam kelapa sawit berikutan kenaikan harga sebelum 1999 dan tidak munasabah kerajaan menghalang mereka.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan sudah mengambil langkah mengatasinya dengan memberi insentif tertentu serta menggalakkan kebun sawit yang lebih 25 tahun ditanam semula dengan getah.

Menjawab soalan Dr James Dawos Mamit (BN-Mambong) Keg Yaik berkata kerajaan sudah menggubal Kriteria dan Petunjuk Pengurusan Hutan Secara Mapan bagi memastikan kegiatan pembalakan menepati syarat Pertubuhan Balak Tropika Antarabangsa (ITTO).

Selain itu kerajaan juga meminda Akta Perhutanan Negara 1984 pada 1993 yang menetapkan hukuman penjara mandatori sekurang-kurangnya setahun bagi pembalakan haram selain mengenakan denda yang tinggi.

Kepada soalan Husam Musa (Pas-Kubang Kerian) pula, Keng Yaik menjelaskan bahawa 100 juta hektar diwartakan sebagai kawasan tadahan hujan sebagai ganti kepada 50,000 hektar yang terpaksa ditebang bagi pembinaan empangan Bakun.

Tambah beliau, semua negeri mematuhi catuan penebangan hutan yang ditetapkan di bawah Dasar Perhutanan Negara, malah banyak negeri tidak memenuhi kuota yang diberi.

Abdul Fatah Harun (Pas-Rantau Panjang) pula membangkitkan kemungkinan kerajaan menimbang pemberian pampasan kepada kerajaan negeri yang kehilangan hasil balak dalam kawasan yang diwarta sebagai taman negara.

Keng Yaik berkata isu pampasan tidak perlu ditimbulkan kerana kerajaan negeri masing-masing diberi kebenaran membangunkan atau meneroka kawasan hutan lain sebagai ganti kepada kehilangan pendapatan itu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi