Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 22 Mei 2001

Hanya Cina ahli Akar boleh sertai UMNO

KUALA LUMPUR 21 Mei - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa kenyataannya semalam berhubung keanggotaan UMNO kini terbuka kepada orang Cina di Sabah adalah terhad kepada ahli-ahli Parti Angkatan Keadilan Rakyat (Akar) sahaja.

Sambil meminta maaf atas kenyataannya semalam, Presiden UMNO itu mengakui bahawa beliau telah tersilap dengan membuat satu kenyataan yang terbuka berhubung kelonggaran yang diberikan itu.

``Tidak benar kenyataan itu. Yang saya maksudkan ialah ahli-ahli Akar (berketurunan Cina) dan mereka ini betul-betul ingin menyertai UMNO supaya yang berminat daripada Akar diterima semua,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Dr. Mahathir menjelaskan, kesediaan UMNO untuk menerima ahli-ahli keturunan Cina dalam Akar menyertai parti itu adalah kerana sebahagian daripada mereka diiktiraf sebagai bumiputera di Sabah.

``Sebahagian daripada mereka adalah kumpulan yang dipanggil Sino iaitu orang Cina yang sudah pun menjadi bumiputera kerana perkahwinan dan sebagainya.

``Mereka adalah bilangan (orang Cina) yang terbesar menjadi ahli Akar dan mereka sudah pun diiktiraf di Sabah sebagai bumiputera,'' katanya.

Bagaimanapun, kata Dr. Mahathir, pada masa yang sama terdapat juga orang Cina yang menjadi ahli Akar yang tidak diiktiraf sebagai bumiputera.

Justeru katanya, UMNO sedia menerima kesemua mereka walaupun mereka bukan Sino tetapi ia hanya terhad kepada ahli-ahli Akar sahaja.

``Kita sanggup menerima kesemua mereka walaupun mereka bukan Sino tetapi ini terhad kepada ahli Akar sahaja. Tidak terbuka kepada semua orang Cina di Sabah,'' jelas Dr. Mahathir.

Kepada satu soalan, beliau berkata, pada masa ini, orang Cina memang tidak boleh menyertai UMNO tetapi ia boleh berubah pada masa depan.

``Pada masa ini, (orang Cina) tidak boleh menyertai UMNO. Masa depan saya tidak tahulah,'' katanya.

Semalam, dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembubaran Akar di Sabah, Dr. Mahathir berkata, orang Cina di negeri itu kini boleh menyertai UMNO.

Oleh: ISMAIL DAUD

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum