Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 22 Mei 2001

Semua ketua bahagian UMNO diarah isytihar aset

KUALA LUMPUR 21 Mei - Majlis Tertinggi (MT) UMNO mengarahkan semua ketua bahagian mengisytiharkan aset mereka manakala calon yang akan bertanding jawatan itu pada masa depan turut perlu berbuat demikian.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, mereka yang menjadi ketua bahagian ketika ini juga tidak akan diberi peluang mendapat kontrak perniagaan daripada kerajaan.

Tegasnya, jika ada ketua bahagian cuba meraih peluang itu, UMNO akan memaklumkan kepada kerajaan supaya jangan melayan permintaan mereka.

Bagaimanapun, kata Dr. Mahathir, mereka bebas menjalankan perniagaan masing-masing asalkan ia tidak melibatkan kontrak kerajaan.

``Kita setuju dengan cadangan bahawa semua ketua bahagian mengisytiharkan aset mereka dan sesiapa yang bertanding pada masa depan `ternampak dia kaya', perlu beri laporan tentang aset mereka.

``Ketua bahagian yang dilantik pula, mereka tidak akan diberi layanan oleh kerajaan dan jika mereka cuba mendapat peluang perniagaan itu, kita akan beritahu kerajaan bahawa si polan-polan ini adalah ketua bahagian,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MT di Ibu Pejabat parti di sini, hari ini.

Dr. Mahathir pada 21 April lalu menyarankan supaya golongan kaya tidak dibenarkan bertanding merebut sebarang jawatan parti sama ada di cawangan, bahagian dan MT.

Ini, tegas beliau, bagi mengelakkan gejala politik wang berleluasa dalam parti.

Menurut Dr. Mahathir, keputusan MT itu bermakna mereka yang menjadi ketua bahagian ketika ini tidak boleh mendapat sebarang kontrak daripada kerajaan.

Ditanya mengenai tindakan UMNO jika ada kalangan ketua bahagian terdiri daripada kontraktor yang telah mempunyai perniagaan yang kukuh dengan kerajaan, kata Dr. Mahathir:

``Dia kena pilih sama ada nak jadi kontraktor ke atau nak jadi ketua bahagian''.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum