Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 22 Mei 2001

Saya akan kekal dalam UMNO - Abdullah Omar

KUALA LUMPUR 21 Mei - Datuk Abdullah Omar yang kehilangan jawatan Ketua UMNO Bahagian Muar berjanji akan terus kekal menjadi ahli walaupun Majlis Tertinggi (MT) hari ini mengekalkan hukuman yang diputuskan oleh Lembaga Disiplin parti ke atasnya.

Menurutnya, beliau juga akur dan menyokong keputusan MT itu dan tidak akan membuat sebarang rayuan lagi.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada MT di atas keputusan tersebut, beliau berkata, tindakannya membatalkan hasrat untuk keluar dari UMNO dibuat ekoran nasihat Timbalan Presiden UMNO yang mahukan ``pemimpin yang beragama dan bersih'' tidak keluar dari parti itu.

``Saya cuma ikut nasihat. Saya akan menjadi ahli biasa yang kurang cergas (berpolitik) tetapi tetap menyokong perjuangan UMNO,'' katanya kepada Utusan ketika diminta mengulas keputusan MT hari ini yang mengekalkan hukuman terhadapnya.

Pada 16 Mei lalu Abdullah memberitahu Utusan, beliau mungkin keluar parti jika kerja-kerja amal yang dilakukannya secara ikhlas selama ini dianggap sebagai politik wang untuk meraih pengaruh atau undi.

Beliau turut berhasrat untuk bersara dari arena politik jika rayuannya berhubung tuduhan bahawa dirinya terbabit dalam gejala itu ditolak oleh MT UMNO.

Ekoran kenyataannya itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta beliau tidak bertindak sedemikian.

Ini kerana, katanya, Abdullah masih boleh terus berkhidmat kepada parti walaupun tidak lagi memegang jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Muar yang dimenangi pada 28 April lalu selepas menewaskan penyandang jawatan, Malik Munip.

Mengulas lanjut Abdullah yang juga Timbalan Pengerusi Eksekutif KFC Holdings berkata, beliau bersyukur kerana isu berkaitan politik wang yang dikaitkan dengan dirinya telah dapat diselesaikan dengan cepat.

``Apa yang penting peristiwa ini telah berakhir,'' katanya.

Beliau berkata, langkahnya untuk tidak bergiat aktif dalam politik juga adalah selari dengan kedudukan terbarunya yang tidak mempunyai apa-apa lagi jawatan dalam UMNO termasuk ketua cawangan yang dipegangnya sejak 15 tahun lalu.

Malah beliau mengibaratkan ke-dudukan terbarunya itu sebagai seorang yang `separuh bersara' daripada arena politik.

Ditanya apa yang akan dilakukannya selepas ini, Abdullah memberitahu, beliau akan memberi tumpuan kepada keluarga dan perniagaannya di samping menulis buku.

Bagaimanapun, menurut Abdullah, beliau juga akan terus melibatkan diri dalam kerja-kerja amal yang giat dilakukannya sejak beberapa tahun lalu.

``Kerja-kerja amal akan saya teruskan untuk bangsa saya sekadar yang termampu,'' katanya.

Sementara itu, bekas Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Zainol Mohd. Isa yang dihubungi Utusan malam ini enggan mengulas lanjut mengenai keputusan tersebut.

``Saya tak mau komen lagi,'' katanya ringkas.

Beliau juga enggan mengulas ketika ditanya sama ada beliau akan membuat tindakan susulan dengan membuat rayuan balas terhadap keputusan MT itu.

Bernama pula melaporkan, Zainol akan memanggil sidang media esok bagi mengulas keputusan MT itu.

``Saya akan mengadakan satu sidang akhbar di Pusat Khidmat Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Bayu di Pekan Baling pada pukul 11 pagi esok,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum