Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 22 Mei 2001

MT belum dapat umum hasil siasatan

KUALA LUMPUR 21 Mei - Majlis Tertinggi (MT) UMNO belum dapat mengumumkan hasil siasatan berhubung kes politik wang di Bahagian UMNO Kuantan kerana laporan akhir mengenainya belum diterima.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, MT masih menunggu laporan itu yang sedang disediakan oleh lembaga disiplin parti.

``MT tidak bincang perkara ini. Kita masih menunggu laporan akhirnya yang belum lagi diberi,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MT di sini hari ini.

Beliau mengulas hasil siasatan Lembaga Disiplin UMNO mengenai politik wang di Bahagian Kuantan yang ditimbulkan oleh ketua bahagiannya, Datuk Fauzi Abdul Rahman pada 29 Mac lalu.

Lembaga disiplin itu pada 5 Mei lalu mengumumkan bahawa pihaknya telah menerima laporan hasil siasatan itu daripada jawatankuasa khas yang diketuai oleh Peguam UMNO, Tan Sri Zaki Tun Azmi.

Bagaimanapun, menurut pengerusinya, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail, cuma MT sahaja boleh membuat keputusan ke atas kes itu kerana jawatankuasa khas itu ditubuhkan olehnya.

Fauzi sebelum ini membuat kejutan apabila mengumumkan hasrat meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Beserah dan menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Menteri Besar Pahang.

Menurut Fauzi, tindakan itu diambil kerana tidak berpuas hati dengan perbuatan menyogok, memberi hamper dan sebagainya yang berlaku semasa pemilihan peringkat cawangan.

Fauzi cuma menerima pencalonan sembilan cawangan berbanding 29 yang diterima oleh Naib Ketua bahagian itu, Datuk Faisal Abdullah dan 20 pencalonan oleh Timbalan Ketua UMNO bahagian, Datuk Wan Adnan Wan Mamat.

Dalam pada itu ketika ditanya sama ada Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Khalil Yaakob perlu meletak jawatan dalam parti ekoran siasatan penyelewengan membabitkannya oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR), Dr. Mahathir berkata:

``Kita tidak boleh ambil tindakan sebelum keputusan akhir mengenainya diterima.

``Seseorang tidak boleh diisytiharkan bersalah sebelum dibuktikan bersalah''.

Mengenai kajian MT ke atas memorandum jawatankuasa bertindak UMNO bahagian Silam, Sabah yang mendakwa kemenangan ketua bahagian itu pada pemilihan bulan lalu tidak sah, beliau berkata:

``UMNO bahagian Silam akan mengadakan mesyuarat semula keseluruhannya''.

Sementara itu, salah seorang ahli jawatankuasa khas, Datuk Nakhaie Ahmad berkata, beberapa saksi lagi akan dipanggil bagi membantu siasatan terhadap dakwaan Fauzi.

Katanya, siasatan kini berada pada peringkat akhir sebelum diserahkan sepenuhnya kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

``Saksi-saksi akan dipanggil untuk memastikan sama ada wujud atau tidak kes sebagaimana yang didakwa oleh Fauzi,'' katanya.

Beliau menjelaskan, siasatan terhadap dakwaan Fauzi itu melalui beberapa peringkat.

``Kita telah memanggil Fauzi sebanyak dua kali dan lebih 10 saksi untuk membantu siasatan,'' jelasnya.

Menurut beliau, siasatan tersebut mengambil sedikit masa memandangkan ada perkara tertentu perlu dirujuk terlebih dahulu kepada MT.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum