Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 23 Mei 2001

Zainol letak jawatan exco Kedah minggu ini

ALOR SETAR 23 Mei - Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Kedah, Datuk Zainol Md Isa hari ini mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan exconya itu dalam minggu ini.

Ini berikutan keputusan Majlis Tertinggi UMNO pada Isnin lalu untuk menerima keputusan Lembaga Disiplin parti yang diumumkan pada 5 Mei lalu yang mendapati Zainol bersalah kerana terlibat dalam politik wang semasa pemilihan UMNO bahagian Baling, bulan lalu.

"Saya tidak ada masalah untuk melepaskan jawatan exco," katanya pada sidang berita selepas menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain yang turut hadir pada sidang berita berkenaan berkata, beliau menerima keputusan Zainol itu.

Bagaimanapun, katanya, Zainol masih kekal sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bayu.

Syed Razak berkata, Zainol sedang membuat urusan untuk menyerahkan surat peletakan jawatan kepadanya.

Katanya, beliau pula perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada Sultan Kedah yang sekarang ini berada di luar negara.

Zainol, ketika ditanya mengenai tindakan UMNO itu, berkata: "Saya sebagai anggota UMNO patuh dengan keputusan Lembaga Disiplin dan MT. Saya menyokong tindakan Presiden parti membanteras gejala politik wang."

Bagaimanapun, beliau masih berpendirian bahawa beliau tidak terlibat dalam politik wang dengan menjelaskan: "Saya tidak guna duit dan saya memang tidak mempunyai duit. Tiada transaksi duit yang berlaku."

Katanya, beliau sebenarnya didapati bersalah terhadap tuduhan menyalahgunakan kuasanya dengan memanggil mesyuarat belia di sebuah hotel di Sungai Petani menjelang mesyuarat UMNO Bahagian Baling.

Zainol, 52, yang sedang berkhidmat sebagai wakil rakyat bagi penggal kelima, dilantik anggota exco sejak 1998 dan merupakan paling kanan dalam kerajaan negeri sekarang. Beliau juga pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah pada 1995.

Beliau menjadi anggota UMNO sejak 1970 di cawangan Kampung Padang dan memimpin bahagian Baling pada 1987.

Pada 1988, beliau memegang jawatan Timbalan Ketua bahagian itu, manakala Datuk Raja Ariffin Raja Sulaiman menjadi ketua.

Pada pemilihan UMNO bahagian Baling bulan lalu, beliau mengalahkan Raja Ariffin bagi jawatan Ketua Bahagian dengan majoriti 107 undi.

Beliau adalah antara tiga Ketua Bahagian yang dilucutkan jawatan itu setelah didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin.

Zainol berkata, beliau akan terus berkhidmat kepada parti serta masyarakat dan meminta semua penyokongnya bertenang dalam menerima keputusannya itu dan terus bersatu-padu di bawah UMNO. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum